Penyanyi Jaclyn Victor menjelaskan dia kini bahagia bersama anak-anak dan tidak mahu mengulas lanjut butir perceraiannya bersama vokalis kumpulan R&B antarabangsa, AZ Yet iaitu Shawn Rivera.
Ulasnya, ikatan mereka sudah tamat dan tiada apa yang perlu dijelaskan lagi.
Terdahulu, Shawn mendedahkan kepada umum menerusi akaun Facebook miliknya bahawa rumah tangganya sudah terlerai selepas lima tahun berkahwin.
“Kehidupan saya berjalan seperti biasa dan saya sibuk dengan persembahan dan anak-anak. Kepada peminat yang risaukan saya dan tertanya-tanya akan keadaan saya sekarang, jangan bimbang, saya baik-baik sahaja. Saya sangat gembira dan anak-anak ada bersama. Saya tidak akan meminta lebih lagi.
“Saya tiada komen mengenai isu perceraian. Ia sudah tamat dan tidak perlu diulas.
“Saya senyap dan bukan mahu mengeruhkan keadaan. Kalau dia (suami) tidak dedahkan kepada umum pun, saya memang tidak akan beritahu kepada semua.
“Saya memang seorang yang amat menjaga privasi dan tidak suka menjaja kisah sendiri. Oleh kerana dia sudah membuka cerita, jadi tidak perlulah saya ceritakan apa-apa lagi. Lebih baik saya diam,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran kasut New Balance 850 di Slate @ The Row, Kuala Lumpur, Selasa.
Bukan sengaja mahu merahsiakan, namun ia sangat personal dan dia memerlukan ruang bersama anak-anak yang masih kecil. Jelas penyanyi bersuara lantang ini lagi, dia tidak menghalang Shawn berjumpa anak-anak.
“Bukan saya mahu rahsiakan, namun ia perkara personal yang berkait dengan keluarga dan anak-anak. Saya tidak mahu bercerita kepada orang lain. Anak-anak saya pun masih kecil dan akan membesar nanti, saya tidak perlu cerita apa-apa. Asalkan saya tahu anak-anak dan keluarga okay, semuanya baik-baik sahaja.
“Anak-anak okay sahaja, walaupun mereka perlukan ‘father figure’ dalam hidup, adik dan kawan-kawan saya sentiasa ada untuk menyokong kami.
“Benda kalau nak jadi, ia akan jadi, jadi saya tidak menyesal. Jika saya tidak berkahwin, anak-anak tidak akan lahir.
“Dia bapa kepada mereka, jadi tiada masalah jika dia mahu datang melawat dan luangkan masa. Mengapa saya mahu halang. Jika dia mahu, datanglah ke Malaysia, saya tidak akan bawa mereka ke mana-mana.
“Saya tidak kisah jika dia mahu bercerita mengenai perceraian kami kerana ia sudah tamat. Saya hanya peminat tahu saya okay dan tiada apa lagi yang perlu diulas,” katanya lagi.
Shawn dan Jac mendirikan rumah tangga di sebuah gereja di Philadelphia pada 19 Julai 2014 dan dikurniakan dua orang anak, Jonah Joshiah Rivera, 5, dan Molly Marguerite Rivera, 3.
Dalam perkembangan lain, New Balance bakal melancarkan koleksi terbaru stail 90-an untuk generasi masa kini. Rekaan 850 ini bakal berada di pasaran bermula 15 Februari depan.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI