Penyanyi Siti Sarah mendedahkan ada usahawan kurang senang dengan tindakannya menegur secara terbuka melibatkan gimik pemasaran melampau sesetengah peniaga, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, individu berkenaan ada menghubungi menerusi instagram dan mendakwa pandangan penyanyi Manis itu seolah-olah menutup periuk nasinya.
Mohon maaf andai ada yang terasa, Sarah bagaimanapun menjelaskan apa yang dikongsi tidak lebih daripada pandangan peribadi tanpa menyebut nama spesifik.
“Ada usahawan wanita yang DM (direct message), maki hamun dan mendakwa saya cuba untuk menutup rezekinya. Saya tidak menyebut nama dan sekarang ini ceritanya, siapa yang makan cili dia akan terasa pedas.
“Saya pun bukanlah sempurna, masih lagi buat dosa. Akan tetapi di dalam keadaan begini bila bangsa Melayu beragama Islam buat marketing sedemikian… Itu pandangan saya.
“Saya hanya nak bagitahu tak payah goncang pun, produk saya boleh buat duit. Itu sahaja, kalau ada yang terasa saya minta maaf,” katanya menerusi IG TV di Instagram beberapa hari lalu.
Pada masa sama, Sarah turut dilihat terkesan apabila masih ada lagi pihak yang memintanya melakukan reviu produk dengan pendekatan sedemikian meski sudah menyatakan prinsipnya sebelum ini.
“Ada satu jenama ini yang minta tolong saya untuk promosikan barangan jualan. Saya tidak kisah untuk buat promosi, tapi bila bagi gambar, memang memalukan, mengaibkan wanita.
“Bila cakap tak boleh macam ni, bagi lagi. Jenis tak faham bahasa. Saya, kalaulah dapat duit daripada sesuatu yang saya buat, awak kena faham yang saya bagi makan pada anak saya.
“Kalau dia tu bapok, lain ceritanya. Bukanlah kalau bapok tu boleh buat, tapi dia ni perempuan. Suatu hari, awak akan ada anak, akan ada zuriat. Macam mana tu?
“Sanggup ya seorang perempuan mengaibkan perempuan lain untuk mencari rezeki,” jelas Sarah panjang lebar.
Terdahulu, Sarah sebelum ini ada membuat teguran terbuka di Instagram berikutan teknik pemasaran sebahagian usahawan yang sanggup menggunakan teknik pemasaran yang agak tidak bermoral di media sosial.
Pendirian isteri kepada pelawak dan penyampai radio, Shuib itu sekaligus mendapat reaksi meluas netizen.
Foto: Instagram Siti Sarah