“Kalau Diam, Saya Akan Hancurkan Hati Sendiri,” – ‘Hiasan Sanggul’ Keluar Sebab ‘Blank’, Shaz Mohon Maaf, Tiada Niat Cemarkan Lagu TokTi

Share

Menyingkap semula persembahan pada minggu ketiga, peserta Terpaling Juara, Shaz telah dikritikan hebat netizen gara-gara kesilapan lirik sewaktu membawakan lagu Purnama Merindu dendangan asal penyanyi nomor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menceritakan mengenai situasi sebenar, Shaz memberitahu pada ketika itu, fikirannya tiba-tiba menjadi kosong sehingga dia terpaksa menyebut apa sahaja perkataan yang terlintas agar tidak merosakkan persembahannya itu.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan punca kesilapan saya pada minggu lepas adalah disebabkan saya blank ketika di atas pentas. Sebenarnya, masa mula-mula dapat tahu saya akan membawakan lagu Tok Ti, saya rasa agak gementar kerana bukan semua orang mampu dan berani meenyanyikan lagu beliau.

“Untuk nyanyian biasa mungkin boleh tetapi untuk menyanyi di pertandingan memang sangat mendebarkan. Ketika itu fikiran saya kosong dan perkataan ‘hiasan sanggul’ itu muncul secara tiba-tiba. Saya mengaku itu memang kesilapan saya,” katanya kepada MH.

Lantaran itu, Shaz atau nama sebenarnya Shazreen Shaharum telah membuat permohan maaf secara terbuka dan berharap agar semua pihak dapat memberikannya peluang untuk memperbaiki kesilapannya itu.

“Jadi, saya ingin memohon maaf kepada para penonton terutamanya para peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza. Saya sendiri merupakan peminat beliau. Saya tahu saya telah mengecilkan hati ramai pihak kerana ini merupakan lagu kesukaan ramai.

“Berilah saya peluang untuk memperbetulkan kesilapan saya ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat konsert minggu ke-4 Terpaling Juara malam tadi.

Pada masa sama, Shaz turut menzfikan dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya sengaja ingin mengubah lirik dan tidak menghormati penulis lagu tersebut.

“Saya memang ada menerima banyak mesej daripada netizen sampai saya tak terbaca tapi saya ada juga ternampak komen-komen yang mengatakan saya seperti sengaja mengubah lirik lagu tersebut dan tidak menghormati penulis lirik. Saya menafikan tuduhan.

“Bagi saya, ketika saya blank itu, kalau saya memilih untuk menghentikan persembahan atau berdiam diri, saya bukan sahaja akan menghancurkan hati saya sendiri tetapi juga kapten dan penyokong yang datang dari jauh. Itu lagi teruk.

“Perkataan itu sahaja yang terlintas di hati saya. InsyaAllah saya berjanji untuk tidak mengulangi lagi kesilapan itu,” akhirinya.

Pada konsert malam tadi, Shaz telah membawakan lagu Canggung nyanyian asal Wany Hasrita.

Selepas dua minggu menggondol gelaran persembahan terbaik, rentak cemerlang itu tidak dapat diteruskan apabila tewas kepada penyanyi senior, Hazami.

Shaz dan penyanyi senior, Rahmat Mega merupakan peserta dibawah bimbingan kapten, Hael Husaini.

Pada konsert minggu ke-4 itu, penyanyi Ifa Raziah menjadi peserta pertama yang mengucapkan selamat tinggal bagi program Terpaling Juara.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Kredit Foto: Instagram Shazreen Shahrum

Published by
Aizam Manaf