Pelakon meningkat naik, Ezzanie Jasny menjelaskan hubungannya bersama penyanyi, Noki K-Clique hanyalah sekadar teman biasa.
Khabar angin mengenai hubungan dua selebriti ini mula diperkatakan ramai setelah Ezzanie berkongsi foto bersama Noki ketika berkunjung ke sebuah pusat membeli belah baru-baru ini.
Menurut Ezzanie, dia dan Noki masih lagi di dalam fasa mengenali hati budi masing-masing.
“Kami hanya berkawan. Tidak lebih daripada itu. Perkenalan ini pun masih baharu lagi. Kami pun tidak meletakkan sebarang label untuk perkenalan ini.
“Kami mula berkenalan ketika Noki datang ke set penggambaran saya sebelum ini. Ketika itu, saya sedang berlakon dengan MK.
“Kami hanya bertegur sapa kemudian, kami mengikuti antara satu sama lain di Instagram,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media drama Layang-Layang Perkahwinan yang berlangsung di Restoran Rebung pada Isnin.
Dalam pada itu, pelakon berusia 24 tahun ini turut menafikan dakwaan yang mengatakan mereka sengaja menyembunyikan hubungan cinta mereka kepada umum.
“Kami hanya keluar berjalan untuk melihat pusat membeli belah yang baharu dibuka iaitu TRX Exchange. Tiada apa yang perlu disorokkan.
“Itu pendapat masing-masing. Biarlah apa yang mereka nak fikirkan. Walaupun ada pihak yang dikatakan patah hati, itu saya tak boleh nak kawal,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, pelakon telefilem Baby-Sita ini juga tidak menolak andai dia ditakdir untuk menjalinkan hubungan Noki pada masa akan datang.
“Kita tengoklah macam mana. Saya hanya ‘follow the flow’. Kalau ditakdirkan dia merupakan seorang yang baik untuk saya, saya pun okay. Kita pun tak tahu apa akan jadi pada masa hadapan,” katanya lagi.
Pada masa sama, Ezzanie tidak kisah
dengan tanggapan segelintir pihak yang kurang senang melihat dia rapat dengan lelaki lain memandangkan statusnya sebagai pelakon baharu.
“Saya tak fikirkan pun tanggapan orang mengenai kehidupan peribadi saya. Asalkan mereka nampak hasil kerja dan tahu saya boleh berlakon, itu sudah mencukupi.
“Kalau ada rezeki untuk saya, maka adalah. Kalau disebabkan satu gambar saham saya menurun, saya tak kisah sangat,” akhirinya.
Terdahulu, drama Layang-Layang Perkahwinan kini sudah pun mula ditayangkan di slot, Megat Drama di saluran Astro Ria dan Astro Go.
Selain Ezzanie, drama ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Shukry Yahaya, Keith Foo, Alya Iman dan Arash Mohamad.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.