Perjalanan penyanyi, Kaka Azraff di program The Hardest Singing Show (THSS) terhenti setakat minggu keempat.
Membawakan lagu sendiri iaitu Bawaku Pergi, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff meraih markah terendah sebanyak 65.14 seterusnya menjadi peserta pertama yang meninggalkan program tersebut.
Menurut Kaka, dia menerima penyingkiran itu dengan hati yang terbuka selain turut menyifatkan dia kini boleh menumpukan kembali fokus terhadap kerjaya dan anak-anak.
“Saya bersyukur dengan apa sahaja yang berlaku. Pada saya, ini bukan pengakhiran dan kerjaya saya akan terus berjalan seperti biasa.
“Saya juga ada terfikir bagaimana saya ingin meneruskan kerja-kerja yang banyak tergendala disebabkan program ini.
“Mungkin Allah dengar jentikkan di hati saya. Hampir empat minggu projek lagu baharu saya tergendala. Begitu juga dengan anak-anak.
“Saya terima penyingkiran ini dari aspek positif,” katanya kepada MH.
Anak saudara kepada penyangi lagenda, Ella itu berkata sedemikian selepas berakhir konsert THSS yang berlangsung di Auditorium CIDB, Cheras pada Ahad.
Meskipun telah berusaha menambat hati para juri dan penonton sejak minggu pertama, Kaka menyifatkan perjalanannya di THSS penuh warna-warni.
“Saya sudah cuba yang terbaik dan rasa ralat itu tiada. Saya puas dan gembira dengan persembahan saya. Yang paling penting, saya puaskan diri sendiri dahulu.
“Kalau juri rasa mereka tak cukup puas, itu perkara yang saya tak boleh kawal. Saya hanya boleh kawal diri sendiri. Saya gembira dengan usaha sendiri.
“Suami pun nampak kesungguhan saya. Saya gembira kerana dapat melihat sisi itu dalam diri saya. Saya tak terfikir mampu buat semua ini. Program ini beri ruang buat saya berkarya,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Kaka enggan menyalah artis cameo iaitu Ucop yang terlupa lirik ketika menyanyikan bahagian rap lagu Bawaku Pergi.
“Ucop tidak merosakkan persembahan. Kemunculannya hanya sebagi cameo. Saya langsung tak terfikir ke arah itu. Penyingkiran saya bukan kerana Ucop.
“Saya gembira dapat buat persembahan dengan Ucop kerana saya mahu seseorang yang boleh menyanyi. Dia membantu persembahan saya,” akhirnya.
Berikut adalah senarai penuh kedudukan para peserta THSS selepas berakhir konsert minggu ke-4 malam tadi;
Gambar
Terdahulu, penyanyi, Stacy Anam telah dinobatkan selaku pemenang Anugerah Pilihan THSS Alha Alfa sekali gus membawa pulang wang tunai RM3000.
Sementara itu, penyanyi dan pelakon Ayda Jebat pula membawa pulang RM2000 selepas memperoleh markah tertinggi di konsert minggu ke-4.
Terdahulu, THSS bakal berlangsung selama 10 minggu dan dikendalikan oleh dua orang pengacara iaitu Nabil Ahmad dan Rina Nose.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.