Penyanyi dan ketua juri Big Stage 2023, Aina Abdul menegaskan dirinya akan mengadili kesemua peserta yang bertanding pada musim ini secara adil dan sama rata.
Kenyataan tersebut sekali gus menolak dakwaan yang mengatakan dirinya seakan pilih kasih terhadap peserta, Nadeera Zaini yang juga merupakan sahabat baiknya dan pernah menjadi teman serumah satu ketika dahulu.
Menurut Aina, antara sebab dia memberikan markah yang agak rendah kepada Nadeera kerana percaya penyanyi tersebut mampu memberikan persembahan yang lebih baik.
“Sewaktu penjurian tadi, saya cuba untuk tunjukkan tiada unsur ‘favouritism’. Mungkin sebab itu ada pihak yang tidak berpuas hati dengan markah yang saya berikan kepada Nadeera.
“Saya merupakan individu yang lebih dahulu mengenali Nadeera berbanding orang-orang lain. Kalau bukan di pentas, saya akan dengar dia menyanyi di tandas atau dapur.
“Kami tahu kekuatan dan kelemahan masing-masing. Untuk Nadeera malam ini, saya perlu adil. Saya rasa dia boleh buat yang lebih baik daripada persembahan tadi (semalam).
“Markah yang saya berikan tadi itu bukannya datang daripada seorang bekas teman serumah tapi sebagai rakan seperjuagan. Kalau kami bertukar posisi sekali pun, perkara sama tetap berlaku,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Terus Hidup itu berkata sedemikian saat ditemui di majlis sidang media konsert minggu pertama Big Stage 2023 yang berlangsung di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad.
Pada masa sama, Aina turut memaklumkan hubungan baiknya bersama Nadeera tidak akan pernah berubah namun, mereka akan terus bersikap profesional sepanjang program ini berlansung.
“Saya tahu momen ini akan tetap tiba. Nadeera juga ada bercakap dengan saya sebelum bermulanya pertandingan ini. Kami akan tetap bertindak profesional.
“Apapun, kami tetap berkawan. Namun, pertandingan tetap pertandingan. Saya kena sama rata dengan peserta lain juga. Kalau orang lain lagi bagus, kita kena bagi markah bagus,” kongsinya lagi.
Lantaran itu, Aina turut berharap agar para peminat dapat memahami tugas yang dipertanggungjawabkan mereka di dalam program ini.
“Saya harap, para peminat saya dan Nadeera yang telah mengikuti kami sejak program sebelum ini, tidak mengambil hal ini di luar konteks Big Stage.
“Ini keseluruhannya untuk Big Stage dan kebaikkan Nadeera sendiri. Format kali ini sangat adil. 50 peratus untuk vokal dan 50 peratus lagi untuk kreativiti. Segalanya boleh berlaku,” kongsinya lagi.
Terdahulu, selain Aina, posisi juri tetap turut disandang oleh komposer terkenal,
Ajai.
Sementara itu, pelakon terkenal, Nora Danish pula diumumkan selaku Presiden Netizen.
Big Stage 2023 dimeriahkan lagi dengan gandingan pengacara Elly Mazlein dan Rina Nose.
Pada konsert minggu pertama ini, kesemua peserta terselamat dan tiada penyingkiran berlaku.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI