Baru-baru ini, usahawan dan bekas personaliti TV, Siti Rohkhaida Abdul Kalil atau lebih dikenali sebagai Kiah Propa telah diundang sebagai tetamu jemputan untuk membincang topik ‘Mantanku, Best Friend Ku’ di rancangan Wanita Hari Ini yang bersiaran langsung di TV3, pada Jumaat.
Di samping berkongsi pendapat bersama penonton secara virtual, Kiah memaklumkan sehingga kini menjalinkan hubungan yang baik bersama bekas suaminya, Mohamad Nazri Ismail.
Semuanya bagi merapat serta menjaga hubungan silaturahim dengan anaknnya.
“Saya mengambil pendekatan dan peluang merapatkan hubungan silaturahim anak dengan bekas suami. Bila kita ajar anak kita daripada kecil yang kita baik dengan bekas suami kita, itu adalah jalan yang terbaik untuk kita menghasilkan silaturahim yang baik supaya kita tidak menjauh antara satu sama lain.
“Sebenarnya siapa sahaja hubungan dalam rumah tangganya tidak bergaduh, tidak ada rumah tangga yang tidak ada tangisan, tidak ada rumah tangga yang baik dan sempurna. Tapi untuk mencapai satu tahap yang begini, harus ada reda dan ikhlas.
“Melepaskan cerita-cerita yang lalu dan bersihkan hati, jangan ada sekelumit rasa hati yang hitam.
“Maafkan dia, lepaskan keadaan itu dan ingat kita juga bukan kita sentiasa betul. Kita pun ada salah, tak salah untuk rasa merendah diri dan buang ego kita.
“Sampai bila pasangan yang bercerai mahu bergaduh dan saya bersyukur kerana bekas suami saya adalah seorang yang menerima dengan hati yang terbuka. Tengok balik diri kita, kita pun tak bagus tapi sampai bila kita mahu bergaduh? ,” katanya.
Selain itu, bekas hos rancangan hiburan Galaksi ini mengakui ada segelintir netizen yang menyarankan untuk kembali rujuk bersama dengan bekas suaminya setelah 7 tahun berpisah.
Bagaimanapun, usahawan berusia 42 tahun ini lebih selesa menjalinkan hubungan sebagai kawan dengan bekas suaminya.
“Sebagai seorang selebriti tak lah popular mana tetapi saya menerima segala cadangan serta pandangan mereka. Semua netizen mencadangkan untuk saya rujuk balik dengan bekas suami tapi buat masa ini saya hanya menganggap dia adalah seorang sahabat yang paling baik dengan saya.
“Jadi kalau kita dah letak diri kita sebagai kawan macam mana perasaan nak berkahwin itu ada? Kalau kita berkahwin dan bergaduh adakah rumah tangga kita itu akan bahagia? Adakah anak-anak akan mendapat suasana rumah tangga yang bagus? Tidak juga. Saya tidak mahu macam tu.
“Pengurusan rumah tangga kita doakan yang baik-baik, berserah keadaan ini kepada Allah SWT. Ingat jangan membenci lebih-lebih, suka pun kena bersederhana.
“Jangan benci pasangan kita, mantan kita tak kisahlah dia buat apa pun pada anda semua,” katanya lagi.
Foto: Instagram Kiah Propa