Memula kerjaya sebagai anak seni sejak usia kanak-kanak, tidak dinafikan lakonan Aedy Ashraf banyak meninggalkan impak di hati penonton.
Antaranya termasuk watak Mawi yang dibawanya menerusi filem yang ditayangkan pada tahun 2006 iaitu Tentang Bulan, masih lagi diingati sehingga hari ini.
Terbaharu, penampilannya di dalam filem Kahar: Kapla High Council, memainkan peranan sebagai watak Reza atau Beja turut meninggalkan kesan yang tersendiri.
Menurut Aedy atau nama sebenarnya, Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, dia teruja apabila kebanyakan watak yang pernah dibawakannya sebelum ini ‘menjadi.
“Saya tiada isu pun jika orang ingat saya kerana filem Tentang Bulan atau watak Mawi sampai bila-bila. Kalau lepas ni orang nak panggil saya ‘Beja’ pun, alhamdulillah.
“Bagi saya, itu adalah impak yang diterima penonton daripada watak-watak yang saya mainkan. Asalkan saya sentiasa berada di hati mereka,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, Aedy akui dia tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri di set penggambaran filem berkenaan meskipun dia tidak terlibat di dalam drama Projek: High Council.
“Saya pernah berlakon di dalam drama Projek: Anchor SPM. Ia adalah satu ‘universe’ yang sama. Malah, saya juga mendapat sokongan padu daripada para pelakon sedia ada.
“Saya sendiri peminat drama Projek: High Council, pengarahnya dan idea ‘Projek Universe’ itu sendiri. Bila Projek: High Council diterbitkan, saya sudah jangka ia akan menjadi fenomena.
“Setahun selepas itu, saya pula dapat tawaran untuk hadiri uji bakat. Jadi, saya tak bazirkan masa dan terus usaha untuk jadi sebahagian daripada filem ini.
“Antara proses yang saya lakukan adalah dengan menonton semula drama Projek: High Council. Saya cari semangat dan serap energi keremajaan mereka,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Aedy turut memuji semangat dan kualiti kerja yang ditunjukkan oleh para pelakon filem tersebut walaupun rata-ratanya adalah pelakan baharu.
“Saya seronok bila dikelilingi bersama pelakon seperti Amir Ahnaf yang sangat energatik, bagus dan komited ketika bekerja.
“Sky Iskandar pula yang baru pertama kali berlakon dan pelakon-pelakon muda yang masih baru tapi bersemangat tinggi.
“Saya teruja untuk melihat pelapis-pelapis industri filem kita. Saya percaya industri kita akan menjadi lebih besar dan bertambah baik,” akhirinya.
Setakat ini, filem arahan Razaisyam Rashid itu telah berjaya mencatat kutipan RM4.2 juta dalam tempoh empat hari tayangan.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini