Penyanyi terkenal, Haqiem Rusli akui kecewa dengan sikap segelintir pihak yang menegur isterinya, Anis Sofea dengan cara yang agak kasar dan terbuka berbanding secara peribadi.
Menurut Haqiem, meskipun tindakan isterinya untuk tidak lagi mengenakan hijab itu salah, namun, mereka seharusnya menasihatinya dengan cara yang lebih baik.
“Kadang-kadang rasa kecewa juga. Apa yang mampu saya katakan, nasihat itu mempunyai banyak fasanya. Bagi saya, fasa yang mereka lakukan itu sepenuhnya salah.
“Kalau mereka mencaci, mencarut dan menghukum walaupun perkara yang dilakukan isteri saya itu salah tapi ada caranya untuk menasihati.
“Lebih baik berjumpa secara berdepan dan cakap secara bersemuka. Cara yang lebih baik adalah dengan menghantar mesej personal kepada isteri saya.
“Kepada yang kenal tu, bercakaplah yang baik-baik tak kisahlah sama ada perkara itu salah atau betul. Nasihatlah dengan cara baik,” katanya ketika ditemu bual menerusi program Melodi yang disiarkan pada Ahad.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Tergantung Sepi ini menyifatkan dugaan seperti ini telah mematangkan hubungannya bersama isteri.
“Saya tak nak cakap banyak sebenarnya kerana bagi saya perkara itu normal. Saya dah lali nak menghadai perkara seperti ini. Saya sudah berada dalam industri ini sejak usia saya masih kecil. Saya dah lalui banyak perkara.
“Bagi saya dan isteri, lebih baik kami berdiam diri dan tak perlu nak aggresif di media sosial kerana ia akan memalukan nama keluarga.
“Hubungan kami sangat baik. Saya bukanlah nak cakap kami 100 peratus bahagia. Apa yang saya boleh katakan, liku-liku seperti kecaman netizen ini telah mematangkan kami dari segi bertoleransi dan berbincang,” jelasnya lagi.
Pada masa sama, Haqiem juga percaya setiap ujian itu mempunyai hikmahnya yang tersendiri.
“Allah juga tidak akan menguji sekiranya hambanya itu tak boleh nak hadap. InsyaAllah kami boleh menghadapinya.
“Kami sangat menghormati antara satu sama lain. Walaupun ada fasa-fasa yang harus kami lalui, kami tempuh dengan baik. Dia pun selalu ikut saya ke persembahan.
“Mungkin anda nampak kami ini seperti ada masalah tapi kami baik-baik sahaja. Kalau ada masalah sekalipun, kami tak akan bagi tahu. Buat apa nak bagitahu hal rumah tangga kami?,” ujarnya lagi.
Lantaran itu, Haqiem turut memohon semua pihak untukmendoakan terbaik buat dia dan isteri
“Pada netizen di luar sana, saya memohon maaf bagi pihak saya dan isteri andai sepanjang kami berkahwin, ada kesalahan yang kami buat. Saya berharap sangat, kalau anda marah sekalipun, bersihkanlah hati itu.
“Kadang-kala, mereka yang bercakap ini pun ada buat dosa. Mesti ada dosa dan aib anda yang Allah tutup.
“Tapi mungkin sebab kami ini orang yang dikenali jadi, privasi itu agak kurang. Itu adalah risikonya. Harapan saya, doakanlah yang baik-baik,” akhirinya.
Sekadar informasi, Haqiem dan Anis telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 19 November 2021.
Sejak kebelakangan ini, nama pasangan ini sering kali menjadi perhatian netizen selepas tular khabar angin yang mengatakan rumah tangga mereka kini bermasalah.
Bagaimanapun, khabar angin tersebut mulai perlahan selepas mereka sering kali dilihat bersama dan langsung tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa hubungan mereka sedang bermasalah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Youtube Melodi & Instagram Haqiem Rusli