Pelawak dan penyampai radio, Ajak memanjatkan rasa syukur selepas hubungannya bersama rakan pelawak, Shahrol Shiro kini kembali jernih selepas hampir tiga tahun.
Menurut Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak, dia dan Shahrol kembali bertemu ketika dia pulang ke kampung bagi menghadiri kenduri sahabat baik, baru-baru ini.
“Mulanya, dia nampak video saya ada di kampung. Ketika itu, saya ke rumah rakan sebab ada kenduri. Pada malamnya, Shahrol ada mesej saya dan ajak berjumpa.
“Namun, saya minta kita berjumpa di tempat yang tiada orang dan hanya berdua sahaja tanpa kamera. Saya nak berbincang tanpa gangguan.
“Lalu, Shahrol ajak berjumpa di pejabatnya. Bila berjumpa, kami mula bersembang dan teringat kenangan lama. Jadi, saya rasa berbaik ini merupakan jalan terbaik,” katanya kepada MH.
Penyampai radio Suria itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Jelajah Suria Kuasa 2 yang berlangsung di The Estate On Federal Hill, Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada Rabu.
Ditanya mengenai perasaannya sewaktu pertemuan tersebut, ini reaksi Ajak;
“Sudah tentu saya sebak. Dia sahabat saya. Walau apapun berlaku, rasa sayang itu tetap ada.
“Bila masuk ke bilik Shahrol, di dinding pejabatnya ada mock up check bernilai RM100,000, RM250,000 dan RM500,000.
“Ia hadiah kemenangan kami ketika Maharaja Lawak Mega dahulu. Bila kenang kembali, kami pernah lalui perjalanan indah ini bersama,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ajak menyifatkan apa yang berlaku sebagai asam garam dalam bersahabat.
“Bila kami bersalam dan berpelukan, tiada apa lagi yang perlu disimpan. Kasi selesai secara dewasa. Kami masing-masing turun ego.
“Kalau menang bergaduh pun, tiada siapa yang untung. Apa yang berlaku adalah asam garam bersahabat. Saya tak rasa hilang maruah pun bila turun ego.
“Saya bersyukur sepanjang proses kami berbaik, tiada pihak yang melaga-lagakan,” kongsinya lagi.
Mengulas mengenai rakan-rakan pelawak yang masih berbalah, Ajak menasihatkan mereka untuk menurunkan ego dan dengar kata hati.
“Mereka adalah sahabat-sahabat rapat saya.
Buat mereka yang mengahadapi situasi sama seperti kami, pada saya, tiada orang lain yang boleh selesaikan melainkan diri sendiri. Kita kena turunkan ego.
“Percayalah cakap saya, masing-masing rindu dan sayang antara satu sama lain. Dengarlah kata hati dan bukan orang ketiga. Berpeluklah, insyaAllah semua selesai,” akhirinya.
Terdahulu, Jelajah Suria Kuasa 2 bakal berlangsung di empat buah negeri iaitu Pulau Pinang (7 & 8 September), Johor Bahru (21 & 22 September), Negeri Sembilan (28 & 29 September) dan Kelantan (11 & 12 Oktober).
Antara selebriti yang akan membuat persembahan adalah Aina Abdul, Masdo, Ernie Zakri, Nabila Razali dan ramai lagi.
Jelajah Suria Kuasa 2 ini turut mendapat kerjasama jenama wangian terkenal, Yaya Empire.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI