Hiburan

“Kalau Mudah, Kita Akan Sambil Lewa,” – Filem Tukar Pengarah, Fattah Amin Tetap Fokus 100 Peratus

Share

Pelakon Fattah Amin mendedahkan fokusnya tidak terganggu meskipun berdepan cabaran bertukar pengarah sewaktu menjalani penggambaran filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Menurut Fattah yang juga merupakan tunjang utama filem ini, dia telah membuat persiapan rapi daripada aspek fizikal dan mental sebelum melangkah ke set penggambaran.

“Kita kena sentiasa kekal positif dalam apa jua yang kita lakukan. Kalau kita tak postif, ia akan mengganggu hasil kerja kita.

“Sejak sebelum memulakan penggambaran lagi, saya anggap karakter Awang ini sebagai satu komitmen.

“Walau apapun cabaran dan halangan yang mendatang seperti bertukar pengarah, saya tetap perlu melunaskan tanggungjawab saya. Itu yang saya tanamkan dari awal hingga akhir,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, Fattah turut menyifatkan setiap cabaran yang berlaku secara tidak langsung telah menaikkan semangat semua pihak yang terlibat di dalam filem ini untuk memberikan yang terbaik.

“Untuk menghasilkan sesuatu yang baik dan cantik, ada kalanya ia memerlukan cabaran untuk kita melakukan yang terbaik. Kalau terlalu mudah, kita akan sambil lewa.

“Cabaran-cabaran ini juga yang membuatkan semua pihak di dalam filem ini berkobar-kobar untuk buat yang terbaik,” ujarnya lagi.

Sementara itu, suami kepada pelakon, Nur Fazura ini juga akui bersyukur kerana diberikan kepercayaan untuk membawakan naskah hebat ini meskipun lakonannya pernah dikritik sebagai ‘kayu’ satu ketika dahulu.

“Saya anggap ini semua rezeki dan aturan Allah itu sangat cantik serta luar biasa. Soal rezeki ini, kita tidak tahu apa akan jadi pada masa hadapan. Kita tak boleh nampak.

“Namun, saya tanamkan dalam diri yang saya ingin mencari rezeki yang halal. Saya nak buat yang terbaik dalam apa juga perkara yang saya lakukan.

“Jadi, ikhlas itu hanya Allah yang tahu. Bila Allah nampak, mungkin sebab itu saya diberikan peluang untuk mendapatkan naskah-naskah yang baik,” akhirinya.

Terdahulu, filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Januari.

Selain Fattah, filem ini turut dibintangi oleh barisan pelakon seperti Nur Fazura, Nadhir Nasar, Wan Hanafi Su dan Namron.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf