Hiburan

“Kalau Nak Senang Sendiri, Lama Dah…,” – Awie Sanggup Korban Kerjaya Solo, Utamakan ‘Rezeki’ Dengan Wings

Share

Penyanyi dan pelakon terkenal, Datuk Awie rela berkorban untuk menolak tawaran-tawaran solo demi memberikan sepenuh tumpuan terhadap kumpulan Wings.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, dia kini lebih selesa untuk sama-sama mencari rezeki dengan anggota kumpulan Wings yang lain.

“Kami cari makan menerusi persembahan. Anggota kumpulan Wings semua ada isteri, anak dan cucu. Mereka memerlukan saya untuk cari rezeki.

“Kalau saya tiada atau sibuk dengan penggambaran, mereka nak makan apa? Jadi, saya memang berfikir panjang.

“Kalau saya pentingkan diri atau nak senang sendiri, saya sudah senang lama. Namun, saya ada sahabat yang perlu dijaga,” katanya kepada MH

Katanya lagi, disebabkan rasa sayang yang mendalam terhadap kumpulan Wings, penyanyi lagu Di Penjara Janji ini tidak mahu mementingkan diri sendiri.

“Bukan dalam kumpulan muzik sahaja, dalam politik atau apa juga badan organisasi, kalau kita pentingkan diri, kita hanya akan senang seketika tapi hilang sahabat atau keluarga selamanya.

“Saya tak nak perkara itu berlaku dalam Wings. Jadi, tak mengapalah kalau saya berkorban. Apa-apa tawaran solo, saya akan tolak untuk utamakan Wings.

“Saya sanggup tinggalkan tawaran solo kalau Wings dapat tawaran persembahan walaupun bayarannya mahal. Saya bukan nak kata saya baik tapi secara tidak langsung, Allah akan bagi rezeki lain,” ulasnya lagi.

Dalam pada itu, Awie turut mendedahkan keterujaannya terhadap bidang lakonan sudah tidak seperti dahulu selepas pemergian pengarah tersohor, Allahyarham Mamat Khalid.

“Saya sudah menolak hampir empat tawaran filem. Saya rasa sudah tidak mampu lagi untuk hanya duduk dan buang masa. Kalau dua minggu saya tak berlatih, energi suara akan menurun.

“Saya hanya akan berlakon dengan Rumah Produksi Merah (RPM). Sejak Abang Mamat Khalid meninggal, saya rasa Hussein pun dah pergi sekali.

“Dalam produksi Mamat Khalid ini, kami dah macam keluarga. Jadi, bila nak masuk ke set lain dan mengenali orang baharu, rasanya agak lain,” akhirinya.

Terdahulu, selepas kejayaan di Singapura dan Kuala Lumpur, Konsert Wings The Rock Emperor bakal diteruskan lagi di Pulau Pinang pada 24 Febuari nanti.

Tiket Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chaper telah dijual bermula pada harga RM95 (Free Seating/ Standing), RM155 (Rock Zone), RM158 (Rock Silver), RM188 (Rock Gold) dan RM258 hingga RM315 (VIP).

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf