“Kalau Pelakon Itu Kosong Pengikut Sekali Pun, Tapi Berbakat Tak Ada Masalah,” – Razlan Ismail

Share

Syarikat penerbitan Dream At Work Sdn Bhd membuka peluang seterusnya sedia bekerjasama dengan mana-mana pelakon meski ada di antara mereka yang tidak mempunyai media sosial atau tiada pengikut di Instagram bagi membintangi karya terbitan mereka.

Pengarah urusan dan penerbitnya, Muhammad Razlan Ismail berkata, pihaknya memilih untuk mengutamakan kualiti serta kepuasan dalam menghasilkan sesebuah karya.

“Pada saya idea daripada kami. Apabila kita buat sesuatu cerita, kami sudah fikirkan siapa yang boleh bawa dan selepas itu buat pemilihan.

“Kalau kebetulan artis itu mempunyai pengikut atau ‘followers’ ramai okay lah. Kalau tak, kami okay juga.  Macam Dream At Work kami ikut proses ‘pitching’.

“Dalam masa sama, kami juga buat produk akhir atau ‘finish product’ yang mana lebih kepada karya kita dan apa yang kita nak. Kalau pelakon itu kosong pengikut sekali pun, tapi berbakat tidak ada masalah. Tidak ada IG sekali pun, kami okay,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara terbabit, Razlan menjelaskan pihaknya juga kini sedang dalam perbincangan dengan sebuah stesen televisyen untuk menayangkan telefilem terbitan syarikatnya yang hampir keseluruhan menampilkan pelakon yang tidak ada nama atau bukan dalam kalangan pelakon sedia ada.

“Kami ada satu produk akhir iaitu telefilem berjudul Jersi 45 yang mana pelakon utama dalam telefilem ini semua tidak dikenali sama ada di kalangan kanak-kanak termasuk ibu bapa mereka. Kecuali beberapa pelakon yang memegang watak ibu bapa lain seperti Azhan Rani, Wan Sharmila dan Kazar.

“Malah ada pelakon yang kami ambil dari rumah anak yatim. Pendek kata, dalam telefilem ini sebahagian besar pelakon yang tidak ada nama.

“Tidak ada siapa menentang untuk buat cerita ini. Alhamdulillah, perbincangan dengan stesen TV berkenaan pun positif. Kami bukan nak buktikan sesuatu, tapi ia lebih kepada kepuasan dan kedua, tidak mustahil pun nak buat perkara ini,” katanya.

Ditanya mengenai kelangsungan syarikat penerbitannya sepanjang tempoh pandemik, Razlan berkata cabaran pastinya dirasai semua pihak. Namun, dia lebih selesa melihat hal itu dari sudut yang baik.

“Fasa pandemik ini memang menjadi satu isu, akan tetapi kita juga ada menerima sokongan dari pihak berwajib, ia sesuatu yang baik.

“Pada saya apa yang akan datang ini menjadi lebih menarik kerana sepanjang pengamatan kami sepanjang tempoh pandemik ini memberikan kita banyak ‘content’ yang boleh diolah.

“Cuma ya cabarannya kekal ada. Malah sekiranya ada ‘pitching proses’ daripada mana-mana stesen televisyen kami lebih suka.

“Tapi sekiranya tiada, kami rancang untuk terbitkan ‘finish product’ sendiri. Kemudian daripada situlah kami bekerjasama dengan stesen televisyen,” katanya.

Published by
MH