Aktor asal Singapura, Hisyam Hamid mengakui dirinya perlu kekal relevan dalam industri seni demi survival dalam kerjayanya sebagai pelakon.
Bagaimanapun, Hisyam tidak menafikan bukan suatu hal yang mudah untuk terus konsisten dengan apa yang dilakukan kini, memandangkan saingan yang hadir bukan tak boleh dipandang sebelah mata.
Pada masa sama, pelakon ini juga menyifatkan kategori populariti yang diraih juga berbeza dengan pelakon sedia ada.
“Kalau pelakon itu single, populariti dia lain macam sikit. Macam saya yang sudah berkahwin ni, level dia lain pula. Jadi apa yang saya fikir, lebih baik untuk saya fikir mengenai bagaimana caranya untuk kekal relevan.
“Tidak mengapa untuk berada pada tahap tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu bawah. Sebab kata orang kalau naik cepat, jatuh pun cepat. Tapi kalau jatuh itu pun susah juga. Bagaimanapun, alhamdulillah setakat ini semuanya okay dan tawaran berlakon pun kekal ada,” katanya kepada MH.
Terdahulu, Hisyam ditemui di set penggambaran filem Hero The Movie di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut beraksi di dalam filem aksi komedi berkenaan ialah Bell Ngasri, Elisya Sandha, Syafiq Farhain dan ramai lagi.
Ditanya mengenai apakah yang membuatkan dirinya mengambil tawaran untuk terlibat dalam filem berkenaan, Hisyam memberitahu tema yang diangkat di dalam filem itu sendiri sudah membuatkan dirinya teruja.
“Saya terima tawaran sebab bomba dekat dengan hati. Bila mereka berkongsi mengenai kisah filem tersebut, saya rasa dah tertarik. Pada masa sama, Hero The Movie juga menjadi filem pertama yang ketengahkan saya sebagai pelakon utama.
“Satu peluang yang besar dan siapa tahu ia boleh buka pintu rezeki baru buat saya dalam perfileman pula, InsyaAllah,” akhirinya.
Dalam perkembangan lain, Hisyam kini sedang bercuti bersama keluarganya di Eropah, sejurus tamat penggambaran filem berkenaan.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI