Selepas pertemuan pada Febuari lalu, pelawak Ali Puteh akui sudah lama tidak bertemu dengan anak buahnya yang juga merupakaan anak kepada pelawak, Allahyarham Abam iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.
Bagaimanapun, Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan yakin Hamzah kini berada dalam keadaan yang baik dibawah jagaan ibunya Siti Norhidayah Mohd Ali.
“Perkara itu saya serahkan kepada Allah SWT. Saya ada anak-anak yang perlu dijaga. Yang penting, saya tahu dia sihat dan membesar dengan baik.
“Kalau kita ulas mengenai isu ini, benda elok akan jadi tidak elok,” katanya kepada MH.
Ali berkata semikian ketika ditemui di majlis sidang media Muzikal Lawak Superstar musim ke-4 yang berlangsung di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada masa sama, Ali mengakui merindukan sosok anak buahnya itu yang dikatakan mempunyai perwatakan yang hampir sama dengan arwah Abam sewaktu kecil.
“Ketika kali terakhir saya berjumpa dengan Hamzah, saiz badannya memang hampir sama dengan arwah Abam sewaktu dia kecil. Muka juga memang sangat seiras.
“Perwatakannya juga besar. Jika begitulah keadaannya, itu bermakna dia sihat dan makannya cukup,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, dia juga bersedia untuk menghulurkan bantuan buat anak buahnya itu sekiranya diperlukan.
“Kalau perlukan apa-apa bantuan daripada saya untuk anak, in sha Allah saya akan hadir. Kalau saya tidak dapat hadir sekalipun, kita akan tetap usahakan juga.
“Saya akan cuba buat sehabis baik untuk anak buah saya itu merasakan dirinya masih mempunyai bapa saudara,” katanya lagi.
Sementara itu, Ali memaklumkan dirinya kini sibuk menguruskan bisnes sambal namun, kerjaya sebagai pelawak tidak akan pernah diketepikan.
“Saya kini fokus dengan bisnes seratus peratus. Bagi saya, bidang ini lebih terjamin untuk saya membesarkan anak-anak. Sehingga tahun 2019, melawak memang merupakan pendapatan utama saya.
“Kini, untuk saya kembali aktif seperti dahulu agak susah. Jadi, kenapa saya perlu tinggalkan bisnes yang telah saya bangunkan dengan baik semata-mata untuk kembali mengejar populariti seperti dahulu.
“Perniagaan memang nombor satu. Namun, jika ada tawaran dan undangan melawak, saya akan datang seperti biasa,” akhirinya.
Sekadar informasi, Ali hadir ke rumah Hidayah pada Febuari lalu bagi melangsaikan tuntutan saman seterusnya berkesempatan untuk bertemu dengan Hamzah selepas hampir empat tahun.
Pada 18 Februari 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu dalam Instagram, dua tahun lalu.
Akibatnya, Ali terpaksa menjual tujuh trofi kemenangan bagi mendapatkan wang untuk melunaskan hutang kakak iparnya.
Antara trofi yang dijual termasuklah trofi program realiti Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar, Projek Komedi Warna dan beberapa lagi.
Selain itu, Ali turut menjual motosikal jenis RXZ berwarna merah dan kereta Honda Accord berwarna putih miliknya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.