Hiburan

“Kalau Saya Masuk Hospital, Berkejar Budak Maharaja Lawak Bantu,” – Tolong Shuk Sahar Ketika Jatuh, Ebby Yus Hanya Balas Jasa

Share

Baru-baru ini, pelawak, Shuk Sahar mendedahkan pelawak senior, Ebby Yus merupakan antara individu yang banyak membantunya ketika dihimpit kontroversi sehingga hilang pelbagai tawaran pekerjaan.

Ketika ditemui MH, Ebby memaklumkan dia hanya mahu membalas jasa kawan-kawan yang banyak membantunya sebelum ini.

“Dalam kehidupan ini, kita saling memerlukan tak kisahlah dari kalangan miskin atau kaya. Tak semestinya orang kaya sahaja akan bantu kita.

“Ada masanya, orang yang di atas juga akan menemui kejatuhan dan kita akan bantu dia. Kita juga kena ingat yang orang lain pun pernah bantu kita,” katanya kepada MH.

Ebby berkata sedemikian ketika ditemui di majlis perlancaran koleksi Hari Raya Qierahman yang berlangsung baru-baru ini.

Pada masa sama, pelakon sitkom Jenaka Kampung Kalut ini juga sudah menganggap Shuk seperti saudara sendiri.

“Ketika Shuk berada di atas, dia banyak membantu saya tapi apabila dia jatuh, kita pun terkesan. Bila kita sudah berkawan baik, saya sudah anggap dia seperti saudara sendiri.

“Bila telefon bagitahu ada masalah kewangan, saya sedaya upaya akan usahakan walaupun jumlahnya tidak banyak,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, tidak mengamalkan sikap senioriti mungkin menjadikan hubungannya dengan pelawak-pelawak masa kini sangat akrab.

“Budak-budak ini pernah bantu saya. Saya tak tahulah bagaimana mereka ini menganggap saya. Kalau saya telefon minta tolong, pasti mereka bantu.

“Mungkin saya bukan jenis yang meninggi diri dan minta dihormati disebabkan saya orang lama. Sebab itu mereka selesa dengan saya.

“Saya akur dengan keadaan hari ini. Ini adalah zaman mereka. Kalau dahulu mereka menumpang saya, sekarang ini, saya pula menumpang populariti mereka,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, Ebby juga sangat terharu apabila rakan-rakan pelawak ini sangat mengambil berat tentang keadaan kesihatannya.

“Yang banyak bantu saya adalah daripada kalangan budak-budak Maharaja Lawak. Kami memang rapat. Kalau mereka tahu saya di hospital, cepat mereka akan bantu.

“Seperti contoh, Atu akan hantar bapa mentua dia kalau saya masuk hospital. Dia kejar pengurus saya untuk bagi sumbangan.

“Douglas Lim yang berbangsa Cina itu pun selalu telefon saya. Kalau ada masalah, dia minta saya bagitahu,” akhirinya.

Terdahulu, sempena ketibaan bulan Syawal, Qierahman telah melancarkan koleksi EID 2024, yang menampilkan empat jenis koleksi iaitu ‘signature cut’, kurta modern fit, kurta Paduka oversized.

Malah, Qierahman turut memperkenalkan koleksi abaya untuk kaum wanita, yang terdiri daripada Amelie, Camille dan Madelyn.

Pada masa sama, pelakon Que Haidar dan anaknya, Tengku Ratu Haidar kekal dipilih selaku duta untuk koleksi kempen kali ini.

Untuk pembelian, boleh layari laman web rasmi atau ke butik jualan QIERAHMAN di Shoppes @ Four Season di Aras 2 bermula 8 March sehingga 7 April ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf