Tiada apa yang lebih bermakna bagi seorang isteri apabila mendapat kasih sayang dari ahli keluarga lainnya, meski suatu ketika dahulu diri pernah terpalit kisah hitam yang mencetuskan sensasi.
Barangkali itulah situasi yang dihadapi Memey Suhaiza yang kini harmoni melayari bahtera perkahwinan bersama Norman Hakim, hampir sepuluh tahun lalu.
Menerusi sesi pertemuan keluarga besarnya termasuk Abby Abadi dan anak-anak tirinya bersama Ebit Lew tidak lama dulu, bintang ini ada berkongsi luahan rasa.
Kongsi Memey dia sangat bersyukur atas rahmatNya kini dalam menjadi individu yang lebih baik dari sebelumnya.
“Syukur, saya dari kecil dibesarkan dengan limpahan kasih sayang dari kedua ibu bapa. Alhamdulillah antara nikmat terbesar yang diberikan dalam keluarga ini adalah banyak sangat kasih sayang.
“Saya tahu, ramai yang tahu kisah kami meski tak secara ditil, tapi ramai yang tahu. Sampai sekarang ada yang tanya macam mana boleh baik, bahagia macam ni. Saya tak tahu nak cakap macam mana. Bagi saya inilah nikmat dari Allah.
“Saya masih ingat lagi satu momen ketika kami sebelum sebaik ini, ketika pertama kali jumpa Abby, dia kata kalau sayangkan suami pakai tudung. Dia peluk saya dan ketika itu kami belum pun bertegur lagi kerana masih dalam situasi buat hal masing-masing,” turut Memey dalam sebak.
Merakam memori, Memey sendiri tidak menafikan pesan yang disampaikan pelakon Gerak Khas itu memberi kesan besar buat dirinya sehingga ke hari ini.
“Sebenarnya pesanan itu berika kesan pada saya kerana suami ketika itu memberi kelonggaran meski dia sendiri memang mahu saya kenakan tudung. Sebab saya fikir lagi mengenai kerjaya seni. Tapi ya, ia beri kesan dan saya selalu berfikir.
“Alhamdulillah suami sangat beri tunjuk ajar dan jadi role model, termasuk dalam solat. Saya berada dalam keluarga ini ibarat suatu rahmat yang sangat besar. Anak-anak pun semua baik belaka.
Setiap orang ada ujian yang berbeza-beza untuk dekatkan diri dengan Allah. Di balik apa yang berlaku dalam kehidupan saya, Abby antaranya baik sangat dengan saya, syukur dengan adanya suami dan anak-anak juga,” katanya seperti yang dipetik.
Sekadar imbasan, Norman dan Abby bercerai pada 2006. Menerusi perkahwinan tersebut, mereka memiliki tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14, dan Maria Danisha Hakim, 11.
Kemudian, Norman mendirikan rumah tangga dengan Memey Suhaiza pada 24 September 2011 dan turut dikurniakan tiga orang cahaya mata, dua lelaki dan seorang perempuan, Muhammad Darwisz Hakim, 6, Muhammad Dikhriz Hakim, 4, dan Mikayla Delisha Hakim, 11 bulan.
Foto: Instagram Memey Suhaiza