Pelakon Lana Nodin, 44, menempelak sikap pelakon baharu yang didakwa tidak fokus ketika berada di set penggambaran dengan hanya sibuk dengan media sosial yang hanya akan menyusahkan ramai pihak.
Lana atau Mazlina Hassan Nodin berkata, dia sendiri boleh naik angin sekiranya berhadapan dengan situasi sedemikian.
“Saya nak beritahu perkara ini kepada ‘budak-budak baru nak up’ (bbnu) yang baru nak berlakon.
“Kalau korang sibuk bermain telefon, bermain tiktok, bermain sosial media dekat set sampai tak hafal dialog, bukan skrip je aku baling, kerusi pun boleh melayang,” sinis Lana.
Malah Lana turut berkongsi pengalaman peribadinya sebagai pelakon sebelum ini yang pernah disimbah air sejuk gara-gara tidak hafal skrip.
Perkara tersebut diluahkan ibu kepada dua cahaya mata ini menerusi Insta Stories, pada Jumaat.
Lana juga menegaskan bahawa pelakon harus bersikap profesional dan sentiasa bersiap sedia kerana tanggungjawab mereka turut memberi kesan kepada rakan pelakon serta kru produksi.
“Zaman saya dulu, bukan skrip sahaja dibaling, mandi air batu pun kena jika tidak menghafal skrip.
“Menyusahkan orang bila tidak membuat persediaan dialog di set penggambaran,” kongsinya.
Sindirnya lagi, pelakon BBNU ini boleh mencari golongan kaya untuk dijadikan pasangan agar tidak perlu susah payah berlakon.
“Baik duduk rumah sahaja, cari orang kaya untuk jaga awak dan tak perlu berlakon,” luahnya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini