Meski masih ada yang mempersoalkan isu gurauan ‘used car’ selepas tamatnya malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-32 (ABPBH32) dari salah seorang hosnya, Elly Mazlein mendedahkan dia tidak ambil pusing kata-kata yang dilemparkan.
Malah, akuinya selepas tamat majlis yang dikendalikan, dia ada menghubungi bakal suami memohon maaf atas apa yang berlaku.
Kongsi Elly atau sinonim dengan panggilan Kak Lina Pom Pom ini, dia rasa sangat bersyukur memandangkan lelaki yang digelar ‘Papa Awan Nano’ itu memahami serta menerima hal tersebut secara rasional.
“Bila selesai sahaja program berkenaan, saya ada hubungi bakal suami tanya sama ada okey atau sebaliknya? Saya minta maaf.
“Lalu katanya, tak apa Mama, Papa paham,” kongsi Elly secara berseloroh.
Mengakui ada ketikanya sukar menjangka situasi spontan yang bakal berlaku, penyanyi berusia 38 tahun ini tetap positif meski ada pihak yang menyarankan agar dia mengambil tindakan atas hal yang berlaku.
“Benda-benda macam ni kita susah nak jangka, kadang-kadang kita tidak tahu benda ni nak jadi.
“Saya cuba untuk meredakan keadaan supaya semua orang tenang tapi ada juga yang tidak setuju.
“Orang cakap saya ni macam tak sensitif pasal benda ni. Bukan saya begitu, cuma saya tak nak burukkan keadaan.
“Tak apalah biar saya telan yang buruk janji semuanya okey,” katanya.
Bintang ini ditemui sejurus sidang media program realiti nyanyian Mentor Milenia yang berlangsung di Hilton Hotel, Petaling Jaya, pada Selasa.
Jelas penyanyi yang terkenal dengan lagu Bakawali ini lagi, rakan pengacara Datuk AC juga secara profesional ada membuat permohonan maaf secara peribadi selepas kejadian.
“Sejujurnya, selepas kejadian tersebut, dia ada memohon maaf secara peribadi dan saya faham niatnya.
“Mungkin Datuk AC nak bergurau tapi mungkin terlepas cakap dan salah pengunaan ayat. Saya faham dan saya kena menghormati perasaan semua orang.
“Apapun, saya berterima kasih sangat sebab bila ramai yang prihatin, saya rasa seperti disayangi.
“Kita ni tak lepas daripada buat kesilapan kadang-kadang niat kita ni nak bergurau tapi keadaan jadi sebaliknya. Saya ada lah sikit terasa sebab kita pun tak lama lagi nak berkahwin, kita ada bakal suami.
“Akan tetapi kita faham tak ada orang sempurna jadi lebih baik kita maafkan dari memanjangkan benda tu,” katanya lagi.
Malah, sebagai rakan selebriti dia juga tidak pernah serik untuk bekerjasama lagi dengan hos senior itu menerusi mana-mana program akan datang.
“Saya tidak serik untuk berkerjasama lagi dengan Datuk AC. Kalau kita sikit-sikit nak sentap baik duduk rumah jer.
“Jadi pada Kak Lina kalau nak sensitif sikit-sikit itu okey tapi lepas tu kita dah kena move on dan profesional,” jelasnya jujur kepada MH.
Dalam perkembangan lain, Elly bakal bergandingan bersama pelawak, Shuk Sahar untuk mengacarakan Mentor Milenia yang bakal ditayangkan di siaran TV3 pada 6 Oktober depan.
Antara mentor yang terlibat ialah Ernie Zakri, Stacy, Black, Hazama dan Akim Ahmad.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI