“Kalau Suami Tak Izinkan, Saya Akan Pujuk…,” – Kini Fokus Bisnes & Seronok Jadi Ibu, Nynaa Harizal Jelaskan Tak Tinggal Terus Lakonan

Share

Pelakon Nynaa Harizal mendedahkan dia masih minat untuk meneruskan kerjaya selepas ini meski sudah mempunyai produk dan bisnes sendiri.

Nynaa atau nama sebenarnya, Nurul Hanynaa Harizal, 26, bagaimanapun berkata, buat masa sekarang dia memilih beri sepenuh fokus terhadap bisnes dan anak, Zara Arianaa, 2 bulan.

“Tidak adalah nak berhenti terus berlakon, cuma perniagaan adalah sesuatu yang sudah lama saya impikan.

“InsyaAllah saya akan kembali berlakon, tetapi buat masa sekarang biarlah saya fokus kepada bisnes dan keluarga terlebih dahulu memandangkan anak kami masih lagi kecil.

“Zara masih kecil dan sudah tentu dia memerlukan perhatian secukupnya daripada saya. Insya-Allah jika semuanya dah betul-betul teratur nanti saya akan kembali semula ke set penggambaran,” katanya kepada MH.

Pelakon drama Madam E-Wallet ini berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Fire & Ice Lip Booster Serum di bawah jenamanya ‘Her Beauty’ di The Face, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, Nynaa turut mengulas mengenai suaminya, Mohamed Fahmi Ilyas yang dikatakan tidak berminat sekiranya Nynaa mahu terus berlakon selepas ini.

“Kalau begitu… saya akan pujuk suami kemudian. Buat masa sekarang lebih baik untuk beri tumpuan pada anak dan perniagaan dahulu, lepas pujuk rasanya dia mungkin beri izin untuk saya kembali.

“Untuk berehat itu juga saya masih belum pasti berapa lama. Alhamdulillah sekarang ini tawaran lakonan masih saya ada terima. Malah minggu lalu pun ada produksi hubungi bertanya sama ada saya sudah sedia berlakon atau sebaliknya.

“Tapi atas kekangan komitmen lain, saya tolak dengan cara baik. Jujur cakap, memanglah rasa rindu untuk beraksi di hadapan lensa kamera. Jiwa itu sudah ada. Tapi saya percaya kalau selepas ini kita ada komitmen lain pun, ia boleh diseimbangkan.

“Kalau sekali lagi suami tak izinkan, saya akan pujuk dan pujuk,” seloroh Nyna yang kini akui perubahan hidup selepas bergelar seorang ibu.

Kali terakhir Nynaa muncul di kaca televisyen lebih dua tahun lalu.

Mengulas mengenai dunia kecantikan yang kini menjadi cinta hatinya, pemenang tempat ketiga Pencarian Dewi Remaja 2019 itu optimis mahu memberikan yang terbaik.

“Secara jujurnya, saya teruja dalam masa sama gementar untuk memulakan perniagaan ini, tambahan lagi bidang ini sangat baru buat diri saya. Namun saya bersyukur kerana mempunyai suami dan ‘team’ yang sama-sama mahu melihat jenama ini pergi jauh.

“Saya tahu bergelar usahawan juga bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya percaya dengan sokongan semua impian untuk berjaya dalam bidang ini akan terlaksana. Kalau boleh saya mahu pergi lebih jauh,” katanya lagi.

Dicipta dengan teknologi tinggi, Lip Booster yang diperkenalkan turut bertindak sebagai plumper bagi memberi solusi bibir mungil berseri dengan efek anjal serta-merta kepada pengguna.

“Saya sendiri sudah mencubanya selepas melalui semua proses penyelidikan dan pembangunannya. Selepas berpuas hati dengan hasilnya barulah kami putuskan untuk dijual kepada orang ramai pula.

“Yang penting selepas ini tak perlu lagi ‘tebalkan’ bibir dengan suntikan kosmetik Lebih selamat menggunakan Lip Booster ini. Tanpa jarum, selamat dan tidak sakit,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH