Baru-baru ini, tular sepotong video di media sosial yang memaparkan tindakan seorang ibu meluahkan rasa berang terhadap orang di sekelilingnya ketika anaknya meragam sewaktu makan di sebuah restoran.
Wanita berkenaan akui kurang senang dengan reaksi yang ditunjukkan oleh orang-orang berhampiran ketika anaknya itu menangis.
Video berkenaan nyata mendapat reaksi bercampur baur daripada ramai pihak.
Antara yang turut memberikan pandangan berhubung isu tersebut termasuklah pengarah dan penerbit terkenal, Michael Ang.
Jelas Michael, wanita berkenaan tidak seharusnya menyalahkan orang lain sekiranya mereka berasa kurang selesa, sebaliknya, para ibu bapa sepatutnya mengajar anak-anak untuk menjaga kelakuan ketika di tempat awam.
“Kepada ‘Makcik Joyah’ tu, kau reti ke tidak jaga anak? Kalau anak kau dah berlari berkeliaran dekat restoran tu macam monyet terkena belacan atau terpekik terlolong, mestilah orang pandang.
“Mesti orang nak tengok siapa yang menjerit. Orang jeling, kau nak suruh dia balik makan dekat rumah pula.
“Sepatutnya, sebagai ibu bapa, kau kena ajar mereka. Kalau tak boleh kawal anak tu, awak yang sepatutnya jangan keluar. Duduk je makan dekat rumah,” katanya.
Pandangan tersebut disuarakan oleh Michael menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.
Malah, Michael turut menegur sikap segelintir ibu bapa yang dikatakan lepas tangan sewaktu membawa anak-anak menonton wayang dan ke pusat membeli belah.
“Lagi satu, kepada para ibu bapa yang tengok wayang tengah malam pun bawa anak kecil masuk panggung, bila anak-anak kau menangis dekat panggung, tak ke itu mengganggu? Takkan sebab itu pun kau nak suruh aku balik tengok dekat tv.
“Kemudian, yang bawa anak ke pusat membeli belah pula, boleh biarkan anak mereka berlari satu shopping mall. Itu pun aku tak faham.
“Saya ada pengalaman di restoran, dia biarkan anak dia memekik, menangis dan berlari-lari. Lepas tu langgar orang. Tapi parents sibu buat live di Instagram,” ujarnya lagi.
Lantaran itu, Michael turut meminta wanita berkenaan supaya melihat sikap diri sendiri sebelum menilai orang lain.
“Guna-gunalah otak tu. Sedap-sedap je nak maki orang. Kau tu tak pandang diri dekat cermin. Reti ke tidak jaga anak? Tak rasa ke tindakan anak tu menggangu orang?,” akhirinya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen menyatakan pandangan yang sama selain turut menyifatkan didikkan ibu bapa sewaktu di rumah sememangnya amat penting.
“Dia elok take away sahaja. Tak payah dine in kalau anak tak behave dalam restoran atau tempat awam.
“Bab midnight movie tu saya setuju sangat. Anak-anak kecil atau babies, tak perlu kot gigih nak bawa masuk panggung.
“Setuju. Mak asyik membawang. Mana anak tak menangis. Setakat ini, anak saya tak pernah pula macam tu. Ini bergantung kepada ajaran masing-masing.
“Perkara-perkara ni mak-mak yang kena pandai handle. Kalau biarkan sahaja anak buat sesuka hati menjerit-jerit atau berlari, memang orang akan pandang. Tak tegur memang anak naik lemak,” antara komen-komen netizen di Instagram.
Setakat ini, video yang dikongsikan Michael itu telah pun meraih hampir 50,000 tontonan di Instagram.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber: Instagram Michael Ang