Pelakon, Ruhainies menepis dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dirinya seperti ingin menunggang agama hanya kerana kerap kali berkongsi mengenai kebaikkan berselawat selama 40 hari bersama para pengikutnya di media sosial.
Menurut Ruhainies, dia hanya berkongsi perkara yang baik dan terpulang kepada semua pihak sama ada untuk menerima atau tidak inisiatifnya itu.
“Sebenarnya saya tak nak terlalu berkongsi perkara ini. Saya bimbang nanti kurang pahala. Saya hanya berkongsi mengenai perkara baik. Terpulanglah nak ikut atau tidak.
“Mungkin ada yang kata saya menungang agama atau nak tunjuk baik namun, pada saya, kita tak perlu nak jadi baik untuk sebarkan kebaikan.
“Saya hanya berkongsi apa yang saya buat sahaja. Sesiapa yang nak ikut, alhamdulillah. Yang tak nak ikut, saya okay sahaja. Saya tak rugi apa-apa langsung,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Wifi Sebelah Rumah itu berlata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media pelancaran produk terbaharu Elegant Cosmetics yang berlangsung di Putra Glass Hall, Putra Height pada Ahad.
Dalam pada itu, Ruhainies akui dia menerima banyak manfaat dan hal-hal positif selepas mengamalkan rutin selawat selama 40 hari.
“Terlalu banyak perkara yang berlaku tapi saya tak boleh nak berkongsi semua. Antara yang saya dapat rasakan adalah ketenangan. Ia perkara yang tak dapat dibeli walaupun kita kaya raya.
“Saya juga terima rezeki tanpa henti, gembira bersama keluarga, keluarga sihat, dan dipertemukan dengan orang-orang baik dan sayang kita secara tiba-tiba,” katanya lagi.
Lantaran itu, Ruhainies turut memaklumkan dia masih meneruskan rutin selawat dan rasa seperti tidak lengkap jika meninggalkannya.
“Perjalanan selawat saya selama 40 hari sebenarnya sudah pun selesai. Namun, ibu saya nasihat untuk teruskan lagi dan jangan berhenti. 40 hari itu hanya untuk buat kita rasa terikat.
“Bila satu hari tak buat, kita rasa seperti tak lengkap. Itu yang saya rasa sekarang. Kalau tak cukup seribu selawat sehari, saya rasa seperti ada yang tidak sempurna.
“Daripada duduk saja-saja atau saya terfikir hal-hal negatif, lebih baik kita selawat,” kongsinya lagi.
Ditanya adakah dia kini ada menyertai kelas-kelas agama seperti rakan-rakan artis yang lain, Ruhainies memaklumkan dia lebih selesa menjadi kelas secara tertutup.
“Saya hadiri kelas secara online sahaja. Ada yang pelawa saya sertai kelas secara face to face tapi saya belum bersedia. Kalau boleh, saya tak mahu ada kamera bila pergi kelas agama.
“Saya tak nak terlalu berkongsi hal ini. Takut nanti orang pertikai. Perkara itu boleh mengurangkan pahala orang lain dan saya sendiri.
“Saya tak nak buka ruang orang buat dosa. Biarlah diantara saya dan Allah sahaja,” akhirinya.
Terdahulu, Ruhainies hadir ke acara yang diadakan oleh Elegant Cosmetics sebagai bekas duta.
Pada majlis tersebut juga, dua selebriti popular iaitu Fattah Amin dan Adira Suhaimi turut diperkenalkan sebagai duta baharu Elegant Cosmetics.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.