Pelakon meningkat naik, Sweet Qismina mengakui kerjaya seninya sejak tahun lalu agak perlahan kerana memberi tumpuan pada pengajiannnya dalam jurusan Perhubungan Awam di SeGi University & Colleges.
Katanya lagi, mungkin atas faktor itulah ramai yang memberi tanggapan bahawa dirinya kian menghadkan penglibatan dalam lakonan.
Bagaimanapun, untuk pertengahan tahun sehingga hujung tahun ini, pelakon berkenaan mengambil keputusan untuk tangguh pengajian demi memberi komitmen penuh dalam lakonan.
“Kalau nak dikatakan perlahan, hal pengajian mungkin menjadi antara penyebab dan pada masa sama, saya juga mengambil tawaran lakonan panjang. Sudah lock dan susah untuk ambil tawaran lain. Jadi mungkin sebab itulah ada yang melihat kerjaya saya perlahan.
“Tapi selepas ini, saya akan beri fokus balik pada lakonan sebab tangguh pengajian selama satu semester saja,” jelas Sweet.
Dalam perkembangan lain, Sweet baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama untuk slot Lestari di TV3 berjudul Adam Cempaka yang bakal disiarkan tidak lama lagi.
“Saya pegang watak sebagai heroin di samping Adam Lee. Tahun depan barulah mula fokus pada pengajian balik. Masih berbaki dua tahun lagi. Memang kena habiskan juga pengajian.
“Belajar itu pun penting. Kalau tak kekal dalam industri, tak tahu nak jadi apa. Mungkin lepas ni saya akan terlibat dengan kerja-kerja media juga, sebab ada kaitan dengan apa yang sudah saya belajar,” seloroh Sweet yang bakal muncul menerusi drama pendek berjudul Dua.
Foto: Instagram Sweet Qismina
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI