Pelakon dan penyampai radio, Anas Tahir akui terkilan dengan sikap segelintir pihak yang gemar memperlekehkan dirinya hanya kerana dia merupakan adik kepada penyanyi popular, Faizal Tahir.
Menurut Anas, dia sebenarnya sudah lama memendam rasa dan merasakan kini sudah tiba masanya dia meluahkan kekecewaannya itu.
“Bagi setengah orang, ini bukan isu besar. Bagi saya pula, dah berbelas tahun saya rasa seperti kesian pada diri sendiri. Kita selalu fikirkan pasal orang tapi orang tak fikirkan saya.
“Baginilah, sebenarnya dah lama saya nak cakap perkara ini tapi tak sampai hati. Takut orang lain fikir buruk pasal saya tapi saya rasa dah sampai masa dah.
“Cukuplah saya dah hadirkan diri ke majlis-majlis orang kemudian bila nak bergambar ada pula yang kata ‘Faizal tak datang ke? Kalau takda Faizal pun takpelah adik pun jadilah’. Rasa kesian kan dekat diri saya ni? Hampir semua orang macam tu,” katanya.
Luahan tersebut dikongsikan sendiri oleh penyampai radio Zayyan FM itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Katanya lagi, dia juga tidak kisah sekiranya ada pihak yang menjadikan dirinya sebagai pilihan kedua, namun, cara layanan haruslah dilakukan dengan betul.
“Ada juga yang menelefon saya meminta Faizal datang ke program mereka tapi saya tak boleh bagi kata putus. Jadi, saya minta mereka hubungi manager Faizal sendiri. Bila dah tahu rate Faizal, mereka telefon saya semula beritahu harga Faizal mahal.
“Habis tu saya nak buat macam mana lagi? Apa sebab panggil Faizal? Sebab nakkan crowd kan? Crowd Faizal memang banyak kalau nak banding dengan saya. Nak murah panggil je saya tapi mereka tak nak pula.
“Ada yang minta saya datang ke majlis untuk gantikan Faizal. Saya tak kesah dan saya datang. Bila saya dah datang, mereka pula berucap ‘Sebenarnya kita mengharapkan kehadiran Faizal Tahir tapi dia tak dapat hadir. Adik dia pun jadilah’
“Saya ni bukan main jaga hati penganjur tetap datang ke program mereka walaupun pada awalnya mereka nak jemput Faizal. Saya nak tolong back up abang saya supaya orang tak kata dia sombong. Tapi janganlah keluarkan kata-kata macam tu. Saya kecik hati. Macam saya ni lekeh sangat,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Anas turut menegaskan kepada semua pihak tidak agar tidak mengambil kesempatan ke atas dirinya hanya kerana untuk mendekati abangnya.
“Cuba kalau perkara ni jadi dekat korang sendiri? Apa korang rasa? Saya dah lama nak cakap hal ni tapi tak tahu macam mana. Kalau anda ni hanya berkawan dengan saya semata-samata nak dekat dengan Faizal, lupakan jelah.
“Kadang kala, hubungan kita ni baik dengan adik beradik kita tapi disebabkan mulut-mulut orang macam ni la yang buatkan hubungan jadi renggang. Padahal kita okay je dan saya dengan abang pun baik je.
“Tolong la buang mentaliti sebegitu,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Anas Tahir