“Saya memang buat home work mengenai Ziana Zain.”
Demikian kata usahawan dan hos, Noor Neelofa yang kini kembali tampil di lensa televisyen menerusi program bual bicaranya, Next To Neelofa musim kedua.
Bersiaran secara langsung setiap Sabtu, jam 10.00 malam menerusi saluran Astro Ria bermula 22 Oktober lalu, barisan selebriti yang diundang khas cukup istimewa di matanya.
Antara figura hebat yang menjadi tetamu pada musim kali ini termasuk ibunya sendiri Datin Noor Kartini, Datin Lisa Surihani, Puteri Sarah Liyana dan bintang senior, Ziana Zain.
Akui teruja, Neelofa tidak menafikan perkongsian Ziana Zain memberi inspirasi yang boleh dijadikan iktibar kepada penonton.
“Kalau tanya saya, selepas mendalami dan mendekati beliau (Ziana), saya mahu jadi ibu bapa Ziana yang berjaya membesarkan anak-anak mereka. Cara mereka sangat memberi inspirasi kepada saya,” katanya.
Sementara itu, Neelofa mengakui menjadi permintaannya supaya semua tetamu jemputan dalam program berkenaan kali ini terdiri daripada wanita.
Dia berkata permintaan itu sebagai menghormati suaminya, Haris Ismail yang juga seorang pendakwah bebas, serta sesuai dengan statusnya sebagai isteri dan ibu.
“Lebih manis dan selesa kerana konsep rancangan ini yang memerlukan saya mendalami dan bercerita dari hati ke hati dengan tetamu jemputan.
“Yang pastinya sofa putih masih kekal untuk musim kali ini,” katanya lagi.
Ibu kepada seorang cahaya mata ini menambah, musim kedua masih mengekalkan mood yang sama dengan menampilkan pelbagai kisah menyentuh hati serta memberi inspirasi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini