“Kalau Tersalah Suap, Nak Salahkan Siapa?,” – Jaga Bunga, Elisya Sandha Rehat Dulu Berlakon

Share

Pelakon jelita, Elisya Sandha memaklumkan dirinya kini sedang berehat seketika daripada sebarang aktiviti lakonan selama sebulan bagi memberi tumpuan kepada anaknya, Bunga Alhaq yang kini sudah boleh mula makan.

Menurut Elisya, buat masa ini, dia masih kurang percaya untuk memberikan tugasan memberi makan kepada anaknya itu kepada orang lain.

“Saya berehat kerana ingin memberi tumpuan kepada Bunga yang kini sudah boleh mula makan. Saya agak kurang percaya bila orang lain yang beri dia makan.

“Saya yang kena masak dan suapkan. Pada masa sama, saya juga beri tunjuk ajar kepada pembantu rumah saya.

“Lagipun, usia Bunga baru lima bulan. Jadi, saya risau kalau orang tersalah suap atau dia tersedak. Nanti nak salahkan siapa pula?

“Bunga mula makan pada usianya empat bulan. Memang agak cepat juga. Makanan pertamanya adalah bubur nasi kosong,” katanya kepada MH.

Tambah Elisha lagi, meskipun terpaksa menolak beberapa tawaran namun, dia merasakan inilah pengorbanan yang harus dilakukan sebagai seorang ibu.

“Ada beberapa tawaran yang saya terpaksa tolak. Dua daripadanya adalah telemovie. Jadi, saya tak rasa ralat sangat.

“Tak mengapalah. Bulan depan saya akan mulakan semula penggambaran sebuah drama 40 episod.

“Saya memang dah rancang perkara ini sejak dulu lagi. Mungkin ini adalah sindrom mak-mak,” ulasnya lagi.

Menantu kepada pelakon dan penerbit, Sheila Rusli ini berkata sedemikian ketika ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-32 yang berlangsung baru-baru ini.

Pada masa sama, Elisha turut memberitahu, ibu mertuanya itu turut tidak kisah dengan keputusannya itu.

“Mama Shila pun okay sahaja. Dia pun tak kisah sebab saya dah bagitahu awal-awal mengenai perkara ini

“Lagipun, saya masih tinggal di rumah Mama Shila sebab rumah kami masih lagi dalam proses renovasi. Mama dan papa pun gembira kami duduk di rumah itu. Maklumlah cucu pertama,” akhirinya.

Terdahulu, Elisya dan suaminya, Uzair Haqimy telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 21 Ogos tahun lalu.

Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang lahir pada 18 Jun lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Kredit Foto: Instagram Elisya Sandha

Published by
Aizam Manaf