Pelawak dan pengacara, Jihan Muse mengakui dirinya turut berasa senang melihat perubahan yang berlaku terhadap rakan selebriti, Nabil Ahmad lebih-lebih lagi selepas dia menyertai sebuah program tabligh baru-baru ini.
Jelas Jihan, pada ketika ini, dia memang nampak yang sahabatnya itu sedang berusaha untuk berubah kearah kebaikkan.
Katanya lagi, perubahan ini bukan hanya berlaku kepada Nabil sahaja tetapi buat dirinya juga.
“Saya ada sesi pengambaran bersama dia untuk program Gegar Vaganza Raya. Pada ketika itu, dia baru je lepas sertai program tabligh.
“Saya ada bertanya kepada dia, apa yang membuatkan dia terbuka hati untuk pergi program tabligh tu? Dia kata kepada saya, walaupun dah pergi haji beberapa kali, dia sendiri tak sangka hidayah tu dia jumpa di Batang Kali je.
“Apa yang saya nampak setakat ini, bila sosal kerja tu, dia tidaklah berubah begitu ketara. Cuma dia ada mintak dengan pihak produksi untuk ubah dan tidak bercakap mengenai beberapa perkara ketika program tersebut berlangsung.
“Saya nampak dia berusaha untuk pergi ke arah kebaikkan. Saya rasa perkara seperti ini berlaku kepada semua orang dan bukan Nabil sahaja. Sebagai manusia, kita semua nak menjadi lebih baik.
“Tapi kadang-kadang, komitmen kerja tu yang memerlukan kita bawa karekter seperti itu. Ada kalanya kita rasa berat hari nak buat, tapi dah jadi tuntutan,” katanya kepada MH.
Pengacara program Gegar Vaganza itu berkata sedemikian ketika ditemui di acara Selebriti Prihatin Bersama Rumah Bakti Al-Kausar yang berlangsung di Wisma Jakel pada Selasa.
Dalam pada itu, Jihan turut mendedahkan dia akan sentiasa menyokong usaha semua pihak termasuklah rakan artis yang ingin berubah ke arah kebaikkan.
“Saya tidak tahu macam mana perancangan Nabil bila melibatkan soal kerja selepas ini, tapi apa yang dia buat, kita akan sokong.
“Apa yang berlaku sekarang ini, saya nampak ramai selebriti nak berubah seperti Neelofa dan Zara Zya termasuklah diri saya sendiri. Saya rasa semua ini adalah hikmah daripada PKP. Saya nampak ramai kawan-kawan saya dah berubah ke arah kebaikkan.
“Saya harap kita semua istiqomah. Nak berubah tu mudah je, nak kekalkan tu yang susah. Macam saya yang bekerja di dalam industri ni, saya cuba untuk jaga batas dan menapis program-progam yang menyukarkan saya untuk berubah,” ujarnya lagi.
Ketika ditanya adakah mereka masih ingin menjadi tonggak utama bagi program Gegar Vaganza pada edisi akan datang, Jihan menyifatkan corak program tersebut masih boleh diubah asalkan tidak bertentangan dengan konsep asal.
“Saya tidak tahu lagi perancangan mengenai Gegar Vaganza yang terbaru. Tapi kalau teraju utamanya, Haji Nabil dah berubah, mungkin konsepnya juga akan berbeza.
“Saya sendiri nampak, sewaktu program Meletop pun Nabil dah berbeza cara pembawakannya. Kalau GV ini masih diteruskan, mungkin ada perubahan sedikit.
“Kalau diikutkan GV ni daripada awal, selain daripada pihak produksi yang menyediakan idea yang bagus, tonggak program ini tetap kepada hosnya. Kami yang mencorakkan program ini. Saya rasa untuk tukar style, mungkin tiada masalah.
“Selagi program tersebut masih mengekalkan konsep pertandingan menyanyi untuk artis-artis senior, saya rasa konsepnya masih boleh diimprovasikan,” akhirinya.