Penyanyi, Datin Alyah menjawab tuduhan warganet di Instagram yang dihantar menerusi mesej peribadi (DM) yang mendakwa dirinya melanggar prosedur operasi standard (SOP) susulan keberadaannya ke Langkawi baru-baru ini.
Alyah, 40, terbang ke pulau peranginan itu bagi menjalani penggambaran video muzik single terbarunya, Thank You Allah dari 4 hingga 7 April.
“Sejak saya berada di Langkawi, pelbagai DM yang saya terima antaranya seperti yang saya muat naik di media sosial. Itu belum lagi nombor tak dikenali. Salam tidak apa pun tidak, terus maki hamun saya persoal itu dan ini mengenai SOP.
“Saya masih seorang penyanyi dan bekerja di bawah syarikat rakaman sendiri. Sebagai peniaga muzik saya harus mengeluarkan lagu bagi memastikan perniagaan ini berterusan. Ia bukan hanya pada halwa telinga sahaja, tapi pihak saya perlu juga mengeluarkan produk dalam bentuk visual juga.
“Pihak saya dan pasukan Like Music Sdn Bhd ke Langkawi kerana atas urusan kerja bagi menyiapkan video muzik lagu terbaru saya Thank You Allah. Apa yang diusulkan oleh anda yang macam tak puas hati terhadap saya, memang betul ia terjadi tapi semuanya atas pemintaan bagi menyiapkan video muzik terbaru saya.
“Saya tak naik kapal persiaran untuk suka-suka dan tidak berkeinginan pun ke Langkawi kalau setakat nak tukar baju fesyen. Kami sedaya-upaya menyediakan segala dokumen perjalanan dan surat kebenaran daripada pihak berkuasa. Kalaulah saya tak cerdik juga, saya minta maaf,” katanya.
Menerusi hantaran itu, Alyah yang juga isteri kepada pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS turut memuat naik surat permohonan merentas negeri bagi menjalankan penggambaran tersebut.
Alyah turut berkongsi surat atau permit perniagaan yang didaftarkan atas nama syarikatnya iaitu Like Music Entertainmnet yang masih sah sehingga 18 Januari 2024.
Foto: Instagram Datin Alyah