“Kali Ini Jujur Saya Akui Rasa Macam Nak Tercabut Nyawa,” – Urusan Akhirnya Dipermudah, Ezzaty Abdullah Selamat Bersalin

Share

Tahniah diucapkan buat pelakon, Ezzaty Abdullah yang selamat menyambut kelahiran anak keduanya kira-kira jam 3.53 pagi tadi.

Berita gembira tersebut dimaklumkan isteri kepada pelakon Azwan Kombos itu di Instagram, pagi tadi.

Bayi lelaki itu dilahirkan secara normal di sebuah pusat rawatan di Rawang, Selangor dengan berat 2.95 kilogram.

“Alhamdulillah sudah ada sepasang. Ikutkan banyak persamaan kelahiran kali ini dengan anak sulung kami, Harum Dalia yang kini berusia lima tahun.

“Berat kelahiran, doktor yang melakukan prosedur kelahiran serta cara ‘induce’ atau proses bersalin secara paksaan pun sama. Yang berbeza hanya rasa saja,” katanya.

Meski mengakui pengalaman dan proses bersalin kali ini menyakitkan, bintang drama Maid ini bagaimanapun bersyukur kerana ia dipermudahkan.

“Kali ini jujur saya akui rasa macam nak tercabut nyawa. Inilah pengalaman dan rasa beranak macam selalu saya dengar dan diceritakan.

“Tapi di sebalik semua itu, Allah permudah dan percepatkan proses kelahirannya. Jadi tak terlalu lama saya harus menahan sakit,” kata Ezzaty yang sudah mempunyai nama buat anak keduanya itu.

Untuk rekod, Azwan dan Ezzaty mendirikan rumah tangga pada 2016.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

.

Published by
MH