Bakal membawakan karektor sebagai wanita bisu buat pertama kali menerusi filem Telaga Suriram arahan Osman Ali, aktres versatil Nabila Huda akui tidak sabar mendukung watak sebagai Maimon.
Nabila, 37, berkata dia sejujurnya sudah lama menantikan karekter sedemkian, lebih-lebih lagi apabila berpeluang bergandingan dengan para pelakon hebat lainnya.
“Buat pertama kali saya bawa watak seorang yang bisu tapi bukan bisu sejak lahir. Watak Maimon ini sebenarnya dia mengalami trauma sejak kecil.
“Tak boleh nak kongsi lebih tapi hanya satu peratus saja dialog saya. Selalu dapat watak yang banyak cakap, tapi kali ini abang Osman berjaya membisukan saya.
“Sejujurnya saya memang menantikan watak sebegini dan skrip. Alhamdulillah, bila dapat saya terus nekad nak lakukan,” katanya.
Hos Melodi itu berkata demikian ditemui di majlis pelancaran dan sidang media filem seram berjudul Telaga Suriram di The Majapahit, Mont Kiara, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Selain Nabila, filem genre seram itu turut dibintangi Farid Kamil, Maya Karin dan Scha Alyahya dan akan memulakan penggambaran 20 Januari depan.
Nabila pada masa sama teruja mengenangkan dia sendiri sudah lama pasang niat untuk bekerjasama dengan Osman Ali selain meminati karya pengarah itu seperti filem Anak Halal.
“Sebenarnya saya dah lama idamkan untuk berlakon dalam karya Osman Ali. Saya memang peminat setia filem Anak Halal dan karyanya yang lain.
“Tapi takut bila terlalu fikir dan nak sangat, tak dapat pula. Sebab itu saya tak letak harapan tapi ada tanamkan dalam diri nak kerjasama dengan dia.
“Alhamdulillah… tiba-tiba dia panggil saya untuk filem dia. Bila dapat saja skrip dan fahamkan sinopsis cerita, memang rezeki saya dapat watak yang diidam-idamkan,” katanya lagi.
Naskhah berkenaan juga adalah filem sulung terbitan syarikat Odissi Creative Sdn. Bhd. dengan kerjasama produksi milik Osman, Nuansa Films.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.