Pelakon Kamal Adli tidak menafikan antara cabaran terbesarnya dalam menjaga permata hati sulung, Hawra Uqaira ialah saling bergilir menjaga keperluan si kecil bersama isterinya yang juga aktres, Uqasha Senrose.
Kamal bagaimanapun teruja apatah lagi melihat anak membesar di hadapan mata.
“Syukur alhamdulillah, Uqaira sudah masuk dua bulan usianya. Syukur setakat ini anak kami sihat. Cepat masa berlalu kerana sekejap sahaja dia membesar.
“Jujurnya pada awal kelahiran memang agak sukar sedikit. Saya saling bertukar giliran dengan Uqasha untuk menjaganya. Uqasha jaga Uqaira sebelah siang manakala saya pula malam.
“Tapi malam pun Uqasha akan bangun juga. Tak dinafikan susah juga rupanya untuk berjaga malam memandangkan ada ketikanya Uqaira sukar tidur dengan lena,” jelasnya.
Kamal berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Episod Pertama Drama Viu Original berjudul Nafsu, Aurum Theatre di The Exchange TRX, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menerusi drama sebanyak lapan episod itu, Kamal mendukung watak sebagai Sam dan turut dibarisi pelakon lain seperti Azira Shafinaz,Aqasha, Khayrisyah Kemal dan Nia Atasha.
Malah Kamal turut meluahkan rasa bangga terhadap Uqasha yang tidak pernah mengeluh menjaga anak mereka, sejak selamat bersalin April lalu.
“Alhamdulillah Uqasha baru habis pantang. Saya bangga dengan dia sebab caranya dalam menjaga anak kami.
“Saya juga gembira tengok perubahannya sebagai seorang ibu sekarang. Dia memang betul-betul komited sanggup bangun, menyusu dan tidak merungut langsung,” katanya lagi.
Pada masa sama, pasangan selebriti ini juga memilih untuk tidak menggunakan perkhidmatan pembantu dalam menguruskan anak pertama mereka.
Imbas kembali, Kamal mendirikan rumah tangga dengan Uqasha pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan sebelum ini, Uqasha pernah mendedahkan pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali sepanjang perkahwinan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI