Kontroversi melibatkan tiga pelakon, Kamal Adli, Emma Maembong dan Zahirah MacWilson bagaikan belum berakhir.
Terbaru, setelah mengambil pendekatan berdiam diri pada mulanya, Kamal akhirnya membuka mulut dan menjelaskan situasi sebenar mengenai kontroversi yang turut meretakkan hubungannya dengan Emma.
Jelas Kamal, dia amat kecewa dengan tindakan Zahirah yang dilihat memerangkapnya dan seterusnya berkongsi perbualan mereka menerusi laman sosial Instagram, baru-baru ini.
“Pertamanya, kenyataan ini bukan untuk memburukkan sesiapa. Tapi saya ingin menjelaskan keadaan sebenar dari pihak saya kerana keadaan makin menjadi tak best sekarang.
“Saya rasa selama berita mengenai saya dan Emma keluar, tidak pernah sekali pun saya petik nama Zahirah atau burukkan dia atau cakap pasal hubungan dia.
“Saya back up dia, sebab saya tahu saya dan dia tidak ada apa-apa hbungan. Malah dengan Emma saya siap mengaku ada silap saya.
“Tapi saya tak faham apa motif Zahirah berbuat begitu kerana isu membabitkan kami telah selesai dibincangkan sebelum ini. Malah saya sendiri telah bersemuka dengan teman lelakinya, Zul Ariffin, Emma dan Zahirah sendiri.
“Tiga pertemuan kesemuanya, di mana pertemuan pertama melibatkan Zul, Emma dan saya, pertemuan kedua melibatkan saya dan Zul, manakala pertemuaan ketiga melibatkan kami berempat.
“Namun dalam pertemuan ketiga keadaan menjadi tegang apabila Zahirah seolah memusing cerita dan menuduh saya sehingga Emma merasakan saya yang telah memutar belitkan cerita.
“Padahal dalam dua pertemuan sebelum itu, saya sudah jelaskan semuanya, mengaku kesilapan saya memetik namanya sebelum ini dan keluar menonton wayang bersama Zahirah dan dua teman lain serta keluar berkaraoke beramai-ramai.
“Kemudian dia muat naik paparan skrin perbualan kami dengan caption yang tidak selari dengan apa yang dibualkan. Cuma saya pelik, kenapa dia tidak muat naik semua? Apa motif dia?” jelasnya yang ditemui sejurus diumumkan sebagai juara program Super Spontan Superstar 2017 di Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, tengah malam tadi.
Tambah Kamal, dia tidak mahu memanjangkan lagi kontroversi ini dan tidak mahu semua yang terlibat kelihatan seperti individu kurang bijak serta berharap isu ini akan berakhir selepas dia memberikan kenyataan.
Bahkan ujar Kamal, dia memohon agar tidak ada mana-mana pihak yang menunding jari dan menyalahkan Emma yang dilihat tergesa-gesa menamatkan percintaan mereka dan turut memohon maaf atas apa yang berlaku di antara mereka.
“Apa yang berlaku, saya akui berpunca dari diri saya. Sekali lagi saya nak mohon maaf kepada Emma dan saya harap orang luar tidak salahkannya.
“Saya rasa sebagai teman wanita saya, dia ada hak untuk rasa apa yang dia rasa dan saya fikir, kaum wanita lebih memahami apa yang dia rasa.
“Alhamdulillah saya kira hati Emma kini sudah sejuk apabila dia sendiri menghubungi dan menyampaikan hasrat untuk hadir di gelanggang akhir memberi sokongan kepada saya.
“Bagi saya kedatangannya pada malam ini (semalam), sudah cukup menggembirakan saya dan memberi tanda positif.
“Saya harap hubungan kami akan kembali pulih selepas ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan Kamal tidak serius dalam percintaan dan cuba mempermainkan Emma, Kamal menegaskan dia bukan lelaki seperti itu.
“Kalau saya nak mainkan perasaan kekasih saya, tidak perlulah saya bercinta lama-lama. Cukup setahun saya sudah boleh carik yang lain.
“Jadi untuk Emma, sekali lagi saya nak minta maaf, saya tak sangka benda ini jadi besar. Saya sakitkan awak teruk.
“Bila keadaan jadi makin serabut, saya tak salahkan awak. Saya yang salah. Insya ALLAH ada jodoh kita kahwin,” akhirinya.