Vokalis Wings, Datuk Awie berharap agar semua pihak tidak terlalu cepat menghukum selepas kumpulan tersebut mengumumkan bakal mengadakan showcase istimewa di bulan Ramadan nanti.
Menurut Awie, selain persembahan Wings, showcase Wings Semarakkan Malam Cinta Ramadan yang kini memasuki penganjuran kali ketujuh ini turut bakal diisi dengan program santapan rohani dan keagamaan.
“Saya faham, mungkin ada segelintir pihak yang akan mempertikaikan tindakan kami mengadakan showcase di bulan Ramadan. Mungkin ada yang aggap tindakan kami ini gila.
“Namun, showcase kami ini juga penuh dengan pengisian rohani dan agama. Sebelum berbuka, kita akan adakan takzkirah dan bacaan Al-Quran.
“Selepas berbuka pula, kita akan mengadakan solat Magrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah. Kemudian, baru kita buat persembahan.
“Kita fikirkan segala aspek tersebut tetapi orang yang tidak hadir, memang akan menghentam. Datang dahulu, baru mereka akan tahu,” katanya kepada MH.
Awie berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis sidang media showcase tersebut yang berlangsung di Times Square pada Rabu.
Bakal menampil kelainan, Awie memaklumkan Wings amat teruja untuk membawakan lagu-lagu berentak kerohanian dan selawat.
“Kami akan lebihkan lagu-lagu perjuangan, islamik, cintakan keluarga dan alam. Lagu-lagu Wings pula mungkin kami akan bawakan dalam beberapa buah sahaja.
“Kami juga akan membawakan lagu-lagu nasyid lama dan baharu seperi daripada kumpulan Al-Jawahir, Sani Sahuri dan Maher Zain. Malah, lagu-lagu selawat juga akan kami persembahkan.
“Kami mahu semua yang hadir pada malam itu akan raikan program ini dengan hati yang terbuka. InsyaAllah, sama-sama kita cari jalan-jalan yang lebih positif, ujarnya lagi.
Ketika ditanya, mengapa Wings memilih untuk membawakan lagu-lagu nasyid lama, ini respon Awie;
“Kenapa nak simpan lagu-lagu sedap ini? Lagu-lagu ini mempunyai makna-makna yang sangat indah. Lagu-lagu daripada Al-Jawahir dan Sani Sahuri ini sangat popular sewaktu kami kecil.
“Ketika itu, kami masih lagi remaja dan belum betul-betul kenal apa itu rock, pop, dan balada. Bila dah berusia ini, kami teringin untuk menyanyikan semula.
“Kami akan cuba mencantikkan lagu tersebut tidak merosakkan merosakkannha. Kami tidak akan menggangu soal melodi dan ia akan kekal sebegitu.
“Kami akan cuba buat yang terbaik. Kami mahu halwa telinga yang mendengar akan rasa tenang bila kami bawakan lagu-lagu kerohanian ini. Moga ia juga jadi siulan,” katanya lagi.
Showcase bakal berlangsung di Berjaya Times Square Hotel pada 8 April depan.
Tiket pula akan dijual mengikut kategori Table VVIP (RM15,000), Table VIP (RM12,000) Table Platinum (RM8,000), Table Gold (RM6,000) dan Table Silver (RM4,000).