Penyanyi dan komposer, Aisha Retno mendedahkan perjalanan cintanya bersama si dia baru saja putus di pertengahan jalan, sekali gus hanya mahu fokus terhadap kerjaya.
Katanya lagi, dia tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya akui agak sukar untuk mencari pasangan yang faham dengan cara kerja anak seni.
“Biasalah, bila seseorang itu memilih untuk berlalu dan pergi. Saya pun sudah dewasa. Kita tak boleh nak menahan orang lain untuk terus bersama kita. Dari sisi lain, saya kini sudah temui inspirasi untuk menulis lagu.
“Kami sudah berkenalan dalam beberapa bulan. Mungkin kini saya akan lebih fokus dalam kerjaya. Pada saya, putus cinta merupakan perkara biasa.
“Lagipun, buat masa ini, agak sukar untuk mencari seseorang yang faham cara kerja kita sebagai anak seni. Namun, saya tidak pernah nak menyalahkan pihak di sana,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Ketipak Ketipung Raya itu berkata sedemikian ketika mengadakan majlis berbuka puasa bersama pihak media dan peminat yang berlangsung di Taema Bnglw, Ampang pada Khamis.
Tambah Aisha, meskipun hubungan mereka sudah berakhir, dia dan bekas teman lelaki masih berkawan baik.
“Kami masih berkawan baik. Saya lebih suka mengekal hubungan baik ini. Dalam dunia ini, pusing-pusing ke mana pun kita akan berjumpa juga. Malaysia ini bukanlah besar sangat
“Kami mengakhiri hubungan ini dengan cara yang baik,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Aisha turut memaklumkan perasaan sedih yang dilaluinya ketika ini akan diterjemahkan dalam penulisan lagu yang akan dimuatkan di dalam album sulungnya nanti.
“Dengarkanlah album terbaharu saya nanti. Saya tumpahkan segala emosi di situ. Mungkin orang anggap hal ini sebagai sesuatu yang jenaka tapi ketika saya menuliskan lagu, air mata saya juga menitis.
“Bila saya menulis lagu buat seseorang, sudah tentu dia memberi kesan dalam hidup saya. Saya ingatkan insiden konsert batal itu sudah cukup sedih. Ternyata ada lagi yang lebih menyedihkan.
“Buat masa sekarang, saya memang serik bercinta. Biarlah saya fokus dengan kerjaya. Siapa yang nak datang, saya terima sahaja,” akhirinya.
Dalam perkembangan lain, Aisha dan penyanyi, Aziz Harun bakal melancarkan lagu Ketipak Ketipung Raya 2.0, hari ini.