Pelakon jelita, Raja Ilya tidak dapat pulang ke tanah air lalu terpaksa menyambut Aidilfitri di Perth, Australia berikutan penularan pandemik Covid-19.
Malah jelasnya lagi, jadual penerbangan ke Malaysia juga hanya dibuka bermula Julai depan.
Bagaimanapun semangat yang ditunjukkan suami, Trent Garret mengadakan rumah terbuka untuk keluarga dan teman rapat meraikan Syawal bersama.
Ia pada masa sama mengubat kerinduan kepada keluarganya apabila tettamu datang berkunjung.
“Sayu hati hanya Allah sahaja tahu. Saya tak dapat balik pulang ke Malaysia kerana tiada penerbangan. Kami sentiasa memeriksa jadual penerbangan, memang tiada sampai Jun. Bulan berikutnya, Julai barulah ada penerbangan ke Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, jika saya balik pun, warga asing tidak dibenarkan masuk ke Malaysia. Suami masih lagi memegang status warga asing, jadi sudah tentu kami tidak boleh masuk.
“Nak tak nak, saya terpaksa membuat keputusan menyambut Syawal di Perth. Saya tak pernah berjauhan dengan ibu ketika menyambut Aidilfitri.
“Lebih mengundang sebak apabila ibu memberitahu, sambutan Aidilfitri berbeza kerana ini kali pertama menyambutnya seorang diri,” katanya seperti yang dipetik.
Pada masa sama, pelakon berusia 35 tahun itu turut tidak melepaskan peluang dengan membuat panggilan video bersama ibu dan adik-beradiknya yang lain pada pagi raya.
Berkongsi mengenai sambutan Syawal di Perth pula, Ilya berkata, Kerajaan Australia juga tidak membenarkan aktiviti berkumpul, jadi dia hanya menyambutnya secara sederhana sahaja.
“Bukan setakat di Malaysia, malah di sini juga tidak dibenarkan berkumpul lebih daripada 10 orang dalam satu masa. Apabila mengadakan majlis rumah terbuka, kami mengatur kehadiran tetamu mengikut masa.
“Kami jemput tetamu hanya sekitar 30 orang. Jadi, ada datang sebelah pagi, tengahari dan malam,” katanya lagi yang turut menjamu tetamu dengan juadah tradisi Melayu.
“Inilah kali pertama saya memasak untuk hidangan 30 orang. Saya tak pernah masak untuk orang ramai.
“Saya hidangkan makanan Melayu tradisional seperti rendang ayam dan daging serta ketupat. Lemang pula saya terpaksa beli lemang segera.
“Disebabkan saya tak jumpa biskut raya, jadi saya belajar dan buat sendiri. Pelbagai biskut raya saya buat, hanya satu tidak jadi iaitu putu kacang.
“Semua makanan tradisi saya buat sendiri, malah pencuci mulut seperti cendol pun saya hidangkan. Dapat juga saya perkenalkan makanan tradisi Melayu pada tetamu. Dari situ, mereka kenal kenal masakan budaya Malaysia,” jelas Ilya.
Di samping itu, dia dan suami turut menyemarakkan Aidilfitri dengan menggayakan pakaian tradisi.
“Kami membeli baju raya menerusi atas talian, mujur sempat sampai. Trent mengenakan baju Melayu dan saya pula baju kebaya nyonya.
Warga asing tak kenal budaya Melayu, kecuali dua tetamu berasal dari Malaysia, tetapi mereka menetap lebih 30 tahun di Perth,” kata Ilya yang sebelum ini turut mengatur segala keperluan ibunya menjelang raya.
Sumber: Berita Harian