Penyanyi terkenal, Celine Dion antara vokalis terhebat pernah wujud dalam dunia muzik antarabangsa. Sejak usia muda sehinggalah mencecah usia 50-an, vokalnya tetap sama dan mampu mencapai nota tinggi dengan bersahaja.
Berusia 55 tahun kini, Celine pada penghujung tahun lepas mengejutkan ramai apabila dia mengumumkan yang dirinya menghidap Stiff Person Syndrom. Sindrom tersebut merupakan penyakit neurologi yang jarang berlaku yang boleh menyebabkan kekejangan otot yang teruk.
Ekoran kesihatan yang semakin merosot, Celine pada bulan Mei 2023 mengumumkan pembatalan kesemua siri konsert jelajah dunia yang sudah dirancang.
Terbaharu, kakaknya, Claudette Dion telah berkongsi maklumat terkini tentang kesihatan penyanyi Power of Love itu.
Bercakap kepada Le Journal de Montreal, Claudette berkata bahawa Celine kini dijaga oleh kakak mereka Linda dan bekerja rapat dengan penyelidik yang pakar mengenai penyakit yang jarang berlaku di dunia itu.
“Kami tidak dapat mencari ubat yang berkesan, tetapi mempunyai harapan adalah penting,” ujarnya dalam temubual tersebut.
Berbicara mengenai keadaan Celina lagi, Claudette menambah, “Sejujurnya saya fikir dia perlu banyak berehat. Dia sentiasa memberikan yang terbaik untuk persembahan, teratas dalam permainannya.
“Pada satu ketika, hati dan badan cuba memberitahu sesuatu. Penting untuk mendengarnya.”
Sedikit imbasan mengenai Celine, dia berasal dari Kanada dan memulakan kerjayanya pada usia 12 tahun merakam lagu dalam bahasa Perancis.
Bintang terkenal ini kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan pengurusnya, Rene Angelil pada tahun 1994 ketika berusia 26 tahun. Suaminya meninggal dunia pada tahun 2016 dan merek memiliki tiga anak bersama.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan