Pemuzik dan komposer Zimi Sofazr mengesahkan rumah tangga yang dibina selama lapan tahun bersama Isma Salwana Ismail, 37, sudah berakhir.
Memetik mStar, Zimi atau nama sebenar Zarimi Zahari, 36, berkata dia menceraikan isterinya itu dengan talak satu menerusi rakaman suara pada aplikasi WhatsApp pada malam Ahad.
“Saya mengaku memang buat masa sekarang ada masalah rumah tangga.
“Saya sekarang dalam proses perceraian. Saya lafazkan talak ke atas bekas isteri semalam (Ahad) dan sekarang kami masih menunggu proses mahkamah.
“Urusan ke pejabat agama dan hak penjagaan anak semua saya serahkan pada pihak yang lebih mengetahui,” katanya seperti yang dipetik.
Tidak mahu bercerita lanjut mengenai punca perceraiannya demi menjaga privasi kedua-dua belah pihak.
Menyifatkan dia dan bekas isteri sudah tidak lagi sehaluan, anggota kumpulan Sofazr ini turut mengakui tidak akan membuat aibnya sekeluarga.
“Saya takkan buka aib dia atau aib kami sekeluarga. Sejahat-jahat suami sekali pun, dia tetap ada rasa sayang kepada isteri dan anak-anak… kalau tak seseorang lelaki tu takkan mendirikan rumah tangga.
“Kami berdua dah tak sehaluan. Kami dah cuba untuk pertahankan perkahwinan ini, tapi tak boleh… jodoh dah tak ada. Mungkin sampai di sini saja la rumah tangga ini.
“Anak-anak kecil lagi, mereka masih memerlukan seorang ibu. Jadi, biarlah dia dapatkan hak penjagaan anak sebab dia lebih berhak,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, menerusi sebuah laporan portal hiburan, Zimi didakwa sudah tidak tinggal sebumbung dengan Isma dan meninggalkan anak-anak mereka bersama isteri.
Zimi bagaimanapun menafikan kenyataan tersebut dan berkata dia sentiasa menjaga kebajikan anak-anaknya dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
“Saya tak nak berlawan dengan gosip tapi cerita yang saya tinggalkan anak macam tu saja, itu tak betul. Kalau betul, kenapa dia tak buat aduan di tempat yang betul? Pergi la ke pejabat agama dan sebagainya.
“Kalau betul, anak-anak saya takkan membesar macam sekarang… takkan bulat-bulat seperti sekarang. Terima kasih la cakap macam tu pada saya. Kalau saya memang salah, biar pejabat agama yang tentukan.
Sekadar imbasan, Zimi dan bekas isterinya Isma Salwana Ismail berkahwin pada 8 Februari 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Bunga, 4, dan Zerlinada Ikil yang kini berusia 3 tahun.
Sumber: mStar
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI