“Kami Buat Keputusan Bukan Ikut Peserta,” – Tiada Penyingkiran, Astro Nafi Nak Selamatkan COEX

Share

Konsert Minggu Ke-5 Big Stage 2023 menyaksikan kejutan selepas pihak Astro memutuskan untuk tidak mengadakan penyingkiran.

Tiga peserta yang berada tangga terbawah iaitu Firdaus Rahmat, Farhan Shah dan kumpulan COEX dapat menarik nafas legas selepas kesemua mereka dapat meneruskan lagi perjuangan pada minggu hadapan.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari menjelaskan pihaknya mahu memberikan satu lagi peluang buat para peserta untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka pada minggu hadapan.

“Setiap musim akan ada minggu yang tiada penyingkiran dan kami merasakan minggu ini adalah masa yang terbaik untuk beri mereka fasa berehat agar mereka dapat kembali memberikan persembahan terbaik pada minggu hadapan.

“Kami berharap agar mereka dapat memanfaatkan peluang ini untuk mengubah cara persembahan mereka,” katanya.

Pada masa sama, Idlan turut menafikan keputusan untuk tidak mengadakan penyingkiran itu adalah untuk menyelamatkan kumpulan COEX yang berada tangga tercorot.

“Cara kami buat keputusan bukan bersandarkan kepada peserta. Kalau ada yang tersingkir pun, pihak juri masih boleh menggunakan Imuniti X.

“Berdasarkan perancangan episod pun, kami merasakan ini adalah waktu yang terbaik. Kami mahu bawakan perkara yang positif pada minggu hadapan,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai kemungkinan dua penyingkiran bakal berlaku pada minggu hadapan, Idlan memaklum segalanya masih bergantung keputusan pihak Astro.

Bertemakan Hari Jiwa Galau, kesemua peserta BS5 minggu ini diadili juri tetap Ajai dan Aina Abdul bersama juri jemputan, Datuk Ramli MS.

Dikongsikan kedudukan kesemua peserta bertanding minggu ini berdasarkan markah yang diberikan juri profesional;

1. Hoondoo – 85.32%
2. Putera Muhammad – 78.00%
3. Dem Lepak Boyz – 75.67%
4. Nadeera Zaini – 73.00%
5. Waode – 65.33%
6. Puteri Khareeza – 64.33%
7. Aufahanie – 58.33%
8. Firdaus Rahmat – 47.00%
9. Farhan Shah – 46.67%
10. COEX – 41.67%

Sementara itu, Dem Lepak Boyz menerima Anugerah Dominasi Persembahan Terbaik, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

‘Big Stage’ telah menobatkan empat juara sepanjang penganjurannya sebelum ini iaitu Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan Elica Paujin (2022).

BS5 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 7 Mei, setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) selama 10 minggu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf