Hiburan

“Kami Bukan Orang Senang, Tetap Sambut Walau…,” – Fasha Sandha Tak Kisah Berhabis Rai Birthday Anak, Kenang Usaha Ibu Waktu Zaman Susah

Share

Aktres terkenal, Fasha Sandha tidak kisah untuk berhabis wang ringgit demi meraikan hari lahir anak-anak tersayang agar ia menjadi kenangan terindah buat mereka sekeluarga.

Menurut Fasha, selain meraikan anak-anak, majlis seperti ini turut diadakan untuk berkongsi rezeki dan mengeratkan hubungan sesama keluarga serta kenalan terdekat.

“Ia bergantung kepada rezeki dan masa. Tidak kisah kecil atau besar, kami pasti akan buat sambutan hari lahir buat seluruh ahli keluarga.

“Sejak daripada kecil, ibu saya tak pernah gagal untuk menyambut hari lahir saya walaupun kehidupan kami dahulu susah. Kami bukan orang senang tapi tetap akan sambut hari lahir.

“Jadi, saya terapkan juga dalam diri, bila saya sudah dewasa dan bergelar ibu, saya akan buat perkara sama juga buat anak-anak,” katanya kepada MH.

Pelakon filem Anak Mami Kembali itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sambutan ulang tahun ke-4 anak bongsunya, Aisha Amira di Hotel Maya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya kos keseluruh majlis tersebut, Fasha dan suami yang juga pelakon Harimau Malaya : The Untold Journey, Aidil Aziz lebih selesa untuk tidak berkongsi lanjut.

“Kami tidak habis kira lagi dan anggap ini sebagai berkongsi rezeki. Tak perlulah kita cakap pasal jumlah. Tak manis nanti.

“Saya tak kisah berhabis buat anak tapi bergantung kepada rezeki pada waktu itu. Jadi tahun ini, saya dan suami berhajat nak berkongsi rezeki dan luang masa untuk meraikan momen ini bersama keluarga,” ujarnya lagi.

Bercakap mengenai Aisha yang kini sudah memasuki usia empat tahun, Fasha memaklumkan anaknya itu kian menunjukkan minat di dalam dunia seni selain bijak dalam pelajaran.

“Nampaknya, Aisha Amaira menunjukkan minat juga dalam bidang seni. Dia senang nak menghafal lirik lagu dan minat menari. Dia nampak seperti nak jadi seorang penghibur.

“Namun, saya tidak memaksa dan menghalang. Kalau itu yang dia minat, kita sokong.

“Di sekolah pula, Aisha seorang yang baik, bijak dan mendengar kata. Kini dia sudah tunjuk minat dengan alat solek. Kata doktor, perkembangannya lebih cepat berbanding usia,” ujarnya lagi.

Terdahulu, majlis yang berlangsung meriah itu turut dihadiri hampir 300 tetamu.

Malah, majlis sambutan hari lahir ini juga turut diserikan lagi dengan persembahan daripada rakan artis seperti Saiful Apek, Amelina dan Aepul Roza.

Published by
Aizam Manaf