Hiburan

“Kami Bukan Sekadar Band Tapi ‘Rumah’,” – D’Masiv Tak Pernah Bertukar Anggota

Share

Ketika kumpulan muzik lain bersilih ganti agggota, berbeza pula buat band popular Indonesia D’Masiv yang masih kekal dengan lima aggota asal meskipun selepas 21 tahun bertapak di dalam industri seni.

Menurut vokalisnya Rian Ekky Pradipta, perkara itu tidak mungkin akan dapat dicapai sekiranya semangat kebersamaan itu tidak dipupuk sejak hari pertama band tersebut ditubuhkan.

“Baru-baru ini, saya sempat mengenang kembali perjalanan kami dan ternyata D’Masiv sudah 21 tahun bersama. Perjalanan bermula apabila kami berlima pernah berkongsi satu nasi bungkus.

“Pertama kali buat persembahan, kami dibayar 150,000 Rupiah bersamaan dengan RM50. Wang tersebut juga kita bahagikan kepada lima anggota.

“Alhamdulillah, sehingga kini, kami tetap bahagi lima dan tidak pernah berhenti. Itu yang membuatkan kami sehingga hari ini merasakan kalau band ini dibubarkan, akan banyak orang yang kecewa,” katanya kepada MH.

Pada masa sama, Rian turut menyifatkan rasa sayang terhadap kumpulan D’Masiv tidak pernah pudar dalam diri setiap anggota dan kerana itu mereka berusaha untuk menjaga band itu sebaik mungkin.

“Pada saya D’Masiv ini bukan hanya sebuah band tapi juga merupakan sebuah ‘rumah’. Tempat di mana ada ramai orang yang bergantung di dalamnya.

“Kami juga punyai syarikat yang dibangunkan bersama. Jadi, band ini seperti ‘rumah’ atau ‘kenderaan’ yang perlu terus dijaga.

Kami boleh terus kekal dengan ahli yang sama kerana setiap minggu kami akan adakan menyuarat. Dalam pertemuan tersebut, kita akan membicarakan mengenai rancangan masa hadapan.

“Kami selalu senaraikan mimpi-mimpi kami. Seperti contoh kami berjaya merakam album di Abbey Road di United Kingdom,” ujarnya lagi.

Terdahulu, D’Masiv bakal bergandingan dengan penyanyi, Mario G Klau menerusi konsert yang diberi nama ‘Amazing Consert D’Masiv & Mario G Klau’ yang akan berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 29 Jun ini.

Harga tiket pula mula dijual serendah RM184 (General Seating B), RM194 (General Seating A), RM200 (Rockzone B), RM210 (Rockzone A), RM936 (VIP 2) dan RM465 (VIP 1).

Menariknya, konsert ini turut dimeriahkan lagi dengan penampilan khas dua orang artis tempatan iaitu Sarah Suhairi dan Alfie Zumi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf