“Kami Ibarat Orang Bodoh Tak Buat Apa-Apa Ke?,” – Tak Dikasi Walau Satu ‘Ha’, Chiwan Akui Kecewa

Share

Anggota kumpulan lawak Taici, Chiwan mengakui berasa agak kecewa dengan sistem pemarkahan para juri yang langsung tidak memberikan mereka ‘Ha’ sekaligus tersingkir daripada pertandingan Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM 2021) pada Jumaat.

Menurut Chiwan, dia percaya setiap kumpulan mahu memberikan persembahan yang terbaik pada setiap minggu, namun ada ketikanya, nasib tidak menyebelahi mereka.

Namun, perkara tersebut bukan bermakna usaha mereka boleh diperkecilkan seperti tiada makna.

“Pentas MLM adalah pentas keramat untuk semua pelawak di Malaysia ni. Di sinila kami akan bermula untuk mencari tapak dalam industri lawak Malaysia. Di sini rumah kami dan di sini juga kami mencari rezeki.

“Kami bukan badut yang berada di atas pentas untuk memperbodohkan diri sendiri. Dalam kami bertanding pentas ini juga adalah pentas untuk kami menghiburkan anda semua. Tiap-tiap minggu kami memerah otak mencari content untuk dipersembahkan di atas pentas.

“Bila persembahan itu menjadi kami dipuji dan diangkat setinggi tingginya tapi bila tak menjadi kami ibarat pesalah yang menanti hukuman untuk dihentam. Kalau ada kekurangan sila nyatakan apa kekurangan kami supaya boleh diperbaiki untuk menjadi lebih baik,” tulisnya.

Luahan tersebut dikongsikan sendiri oleh Chiwan menerusi laman Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Chiwan juga meminta juri bersikap adil dan tidak memandang kepada populariti peserta semata-mata.

“Nilai la kami sebagai anak seni yang berkarya di atas pentas bukannya menilai kami seperti orang yang tak tahu apa itu komedi. Semua yang berada dia atas pentas tu adalah yang terpilih bukan random people.

“Cukup-cukup la memandang popularity. Kami sedar kami kalah popularity tapi kami tau ape itu komedi. Jadilah adil dalam menjuri. Untuk pertama kali dalam sejarah tiada HA dalam MLM. Maruah kami nak campak mana?

“Kami ibarat orang bodoh dekat atas pentas tu yang tak buat apa-apa ke? THIS IS NONSENSE. Kami tak kata kami layak untuk dapat HA yang banyak sekurang kurangnya berila untuk effort yang kami dah berikan,” kongsinya lagi.

Mengakui persembahan mereka pada minggu ke-5 bukanlah ditahap yang terbaik, namun, Chiwan dan rakan seperjuangannya Ilham dan Tapai percaya mereka masih dapat menghiburkan para penonton

“Persembahan kami tak hebat mana malam tadi tapi kami yakin dan dapat dengar gelak tawa orang dalam studio. Kami tahu anda semua juri tapi bile datang tu enjoy the show bukan buat muka ketat.

“Kami tertanya-tanya persembahan kami semua untuk penonton atau untuk juri? Kepada semua yg menyokong taici. Kami ucapkan ribuan terima kasih kepada korang semua.

“Maafkan kami untuk persembahan malam tadi jika ada kekurangan atau ada kata-kata yang mengguris hati mana-mana pihak. Kami terima rezeki kami hanya sampai disini,” ujarnya lagi.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat selain turut mendoakan semoga kumpulan Taici akan terus sukses selepas ini.

Terdahulu, MLM 2021 menampilkan juri terdiri daripada Datuk Rosyam Nor, Diana Danielle, Uqasha Senrose dan Noh Salleh.

Sumber: Instagram Astro Gempak, Chiwan

Published by
Aizam Manaf