“Kami Jarang Berhubung, Mungkin Sebulan Sekali,” – Bercinta Selepas Nikah, Fendy Bakry Kenang Perkenalan Bersama Isteri

Share

Pelakon Fendy Bakry meluahkan rasa syukur dan gembira kerana kehidupannya kini lebih tersusun di samping isteri tercinta.

Lebih sebulan bergelar suami orang, Fendy,32, turut menjelaskan dia tidak berniat untuk merahsiakan perkahwinannya, bagaimanapun perlu memikirkan soal keselamatan berikutan pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah seronok… bangun pagi, ada orang dekat sebelah. Kehidupan saya selepas berkahwin ini lebih tersusun. Syukur ada seorang isteri yang memahami kerjaya saya.

“Saya rasa bertuah sebab ada isteri seperti dia. Saya tidak ada niat nak sorok atau rahsiakan. Segala perancangan dilakukan dalam masa singkat memandangkan kita sedang berdepan dengan Covid-19.

“Majlis yang diadakan pula hanya boleh jemput 250 orang sahaja. Walaupun ada had untuk tetamu tapi bimbang tak boleh nak sekat orang nak datang. Tak akan nak halau.

“Jadi kedua-dua keluarga ambil keputusan untuk buat apa yang perlu dan penting sahaja. Sebab itu, kami adakan majlis pernikahan secara tertutup,” kata Fendy.

Fendy atau nama sebenarnya, Mohd Affandi Nor Bakri selamat bergelar suami kepada wanita yang dikenali sebagai Ayu dalam sebuah majlis sederhana pada 30 Ogos lalu.

Dalam pada itu, pelakon yang pernah popular menerusi drama Mr. Grey ini mendedahkan, dia mengenali isterinya ketika sama-sama menyertai karnival teater di Kedah, tiga tahun lalu.

Sepanjang itu, hubungan mereka tidak lebih hanya kawan biasa tetapi atas nama jodoh, dia mengambil keputusan untuk melamar wanita itu dua bulan sebelum majlis pernikahan dilangsungkan.

“Pertama kali kami kenal ketika sama-sama sertai karnival teater di Kedah. Tak ada istilah bercinta atau nak keluar makan dan tengok wayang… hanya kawan biasa.

“Kami pun jarang berhubung, mungkin sebulan sekali. Terdetik hati saya nak melamar dia sebab nampak ada satu ciri kebaikan yang ada pada dia. Lagipun usia saya dah 32.

“Sudah sampai masa untuk berumah tangga. Jadi saya tanya pada dia ‘kau nak kahwin tak dengan aku’. Kami uruskan persiapan nak kahwin pun dalam masa dua bulan saja.

“Kiranya, kami ini bercinta selepas kahwin,” akhiri Fendy kepada MH.

Terdahulu, Fendy ditemui di Havoc Food Festival 3.0 yang mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam yang diadakan di Stadium Shah Alam selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad lalu.

Acara yang memberi peluang kepada barisan selebriti dan peniaga tempatan menjana pendapatan selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 itu menyaksikan pengunjung yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Published by
Rafiq Mazlan