“Kami Nak Perform Lagu Debut Di Final,” – Mahu Manfaatkan Peluang, COEX Idam Jadi Juara

Share

Terselamat daripada tersingkir meskipun berada di tangga tercorot, kumpulan COEX mahu memanfaatkan peluang ini untuk kembali bangkit seterusnya menampilkan persembahan terbaik pada konsert Big Stage 2023 minggu hadapan.

Menurut salah seorang anggotanya, Mikaela Qistina, COEX mahu buktikan kepada para juri dan penonton bahawa mereka juga mampu menjadi antara pencabar untuk pertandingan ini.

“Pertama sekali, kami sangat bersyukur kerana diberikan satu lagi peluang untuk membuktikan yang kami ini mampu meneruskan perjuangan di dalam pertandingan ini.

“Pada masa sama, kami hargai setiap komen daripada juri Ajai, Aina Abdul dan Datuk Ramli MS. Ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk mencabar kemampuan diri.

“Kami sudah diberikan peluang dan kami berjanji akan buat yang terbaik pada minggu hadapan,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, Mikaela juga menafikan dakwaan kumpulan mereka keras kepala atau tidak mendengarkan apa yang dinasihatkan para juri sebelum ini.

“Kami hanya mahu terus mengikut apa yang telah dirancang untuk persembahan minggu ini. Sebenarnya, kami sudah pun mengguna pakai nasihat-nasihat yang telah diberikan juri sebelum ini.

“Cuma ketika ini, kami tak biasa lagi sebab kumpulan kami masih baru dan perlukan masa untuk biasakan diri dengan teknik-teknik nyanyian berkumpulan.

“Semoga minggu hadapan kami dapat buktikan kepada para juri yang COEX mampu mencapai piawaian yang mereka mahukan,” ujarnya lagi.

Kumpulan COEX ditemui selepas berakhirnya konsert minggu ke-5 Big Stage 2023 yang berlangsung di Auditorum Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) pada Ahad.

Ditanya mengenai respon COEX terhadap kritikan netizen yang mempersoalkan mengapa mereka masih bertahan di program ini meskipun sudah dua minggu menampilkan persembahan kurang meyakinkan, ini jawab seorang lagi anggotanya Dalini;

“Kami ini jenis yang tak baca komen netizen sangat kerana kami bimbang ia akan memberikan kesan terhadap kesihatan mental kami.

“Kami hanya baca komen yang bagus manakala yang sebaliknya pula, kami ketepikan sahaja.

“Kami bertuah kerana kami ini berkumpulan. Bila ada perkara tak baik berlaku atau yang boleh menjejaskan kesihatan mental kami, kami ada satu sama lain,” kongsinya.

Sementara itu, Amy Loh pula memaklumkan COEX sebenarnya mempunyai hajat untuk mempersembahkan lagu debut mereka andai berjaya melangkah ke konsert akhir.

“Kalau ada rezeki, kami memang ingin bergelar juara. Namun, kalau dapat melangkah ke konser akhir pun, itu sudah cukup.

“Kami mempunyai impian untuk mempersembahkan lagu debut kami di konsert akhir. Segalanya sudah siap dan kini tunggu untuk pelancaran sahaja,” ujarnya.

Terdahulu, COEX berada di tangga tercorot bersama dua lagi peserta iaitu Firdaus Rahmat dan Farhan Shah.

Kesemua peserta harus meyakinkan para juri pada minggu hadapan menerusi konsert yang bertemakan ‘wow wow what next’.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf