“Saya bertuah kerana tunang banyak membantu uruskan soal persiapan kahwin. Itu kata pelakon dan model, Ikmal Amry mengenai perkembangan dalam menjelang hari bahagianya tidak lama lagi.

Mengikat tali pertunangan bersama wanita pilihan, Najla Shamsul pada Hari Raya Ketiga lalu, finalis Hero Remaja sezaman Alif Muhaimin itu turut berkongsi tarikh mereka akan diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri.

“InsyaAllah kalau diizinkan, kami rancang untuk kahwin pada 19 Disember ini di kediaman pihak perempuan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Sementara majlis belah saya akan dilangsungkan pada 27 Disember di Subang, Selangor.

“Kami hanya anjurkan dua majlis bersempena dengan hari bahagia kami, moga dipermudahkan,” jelasnya kepada MH.

Mengakui buat persiapan pada diri sendiri sebagai persediaan menjadi suami yang baik, bintang Puteri Yang Ditukar itu bertanya mengenai perkara tersebut kepada rakan yang sudah beristeri.

“Kalau nak dikongsikan mengenai persiapan saya untuk bergelar suami, ia banyak tertumpu daripada segi rohani.

“Misalnya, mulai ‘rajin’ sembahyang dan ingati kembali apa yang pernah dipelajari sebelum ini ketika mengikuti pengajian di Maahad Tahfiz, bagaimana untuk menjadi lelaki yang lebih baik dan sebagainya.

Ads

“Soal kewangan kami bila berkahwin nanti, saya tidak terlalu risau kerana saya percaya, Dia akan tolong umatNya yang mahu melakukan kebaikan.

“Cuma saya lebih ‘risaukan’ soal diri saya. Bukan senang untuk ambil amanah menjaga anak orang.

“Pada masa sama, saya juga ada bertanya dengan rakan-rakan yang sudah pun berumah tangga.

“Minta pandangan mereka bagaimana cara hidup selepas kahwin, persiapan, cabaran dan macam-macam lagi.

Ads

“Ada yang memberikan nasihat untuk terokai juga dunia lain selain hanya berlakon semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Najla yang juga bintang media sosial menyifatkan Ikmal sebagai lelaki yang serasi dengan kedua ibu bapanya.

“Ikmal Amry seorang lelaki yang baik, suka tolong orang dan senang bergaul dengan ibu bapa saya. Mereka rapat dan itu membuatkan saya tertarik dengannya,” akuinya.

Ditanya mengenai kerisauannya terhadap persepsi populariti mulai menurun selepas bergelar suami orang, bintang berusia 26 tahun ini mempunyai pandangannya sendiri.

Ads

“Jujurnya saya merasakan diri saya kian dikenali sejak mula timbul kisah saya yang mahu berkahwin.

“Banyak tawaran lakonan yang datang, termasuk dua filem yang akan mulakan penggambaran Oktober depan.

“Rezeki itu datang daripada Allah SWT. Jadi saya tidak perlu risau soal saham akan jatuh bila sudah berkahwin.

“Bahkan kalau kita lihat, pelakon yang meningkat naik namanya pun kebanyakannya di kalangan mereka yang sudah berumah tangga.

“Saya rasalah, lagi keinginan saya untuk berkahwin, makin banyak rezeki yang Allah curahkan.

“Memang kita tidak tahu apa yang akan beraku bila kami sudah berkahwin dan sebagainya. Apa pun, saya percaya kepada rezeki,” akhirinya.

Terdahulu, Ikmal ditemui pada majlis Sidang Media & Menandatangani kontrak Perjanjian Absolut Talents & Management di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI