Suami kepada Zulin Aziz, Mohd Farhan Norzaini, 35, melihat Zulin sebagai wanita yang mempunyai hati tulus dan ikhlas serta pandai mengambil hati keluarganya.
Menurut Farhan dan Zulin bersyukur kerana majlis hari bahagia mereka dipermudahkan.
“Alhamdulillah, bersyukur Allah satukan kami selepas dua tahun kenal bermula sebagai kawan, seterusnya bercinta dan kini jadi suami dan isteri.
“Perasaan bercampur baur sebab ini antara hajat dan doa daripada arwah ibu, rakan dan semua yang mengenali kami.
“Kami masing masing pernah melalui fasa dikecewakan, turun naik kehidupan serta perhubungan. Dia turut bersama saya di saat mengharungi detik paling hitam dalam hidup iaitu ketika kehilangan arwah ibu pada Oktober tahun lalu,” katanya.
Farhan yang juga rakan kongsi perniagaan bersama Zulin menyifatkan bekas penyampai radio itu melengkapi kriteria isteri idamannya.
“Di situ saya tahu wanita inilah yang saya mahu sehidup semati.
“Malah arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti mana arwah menjaga saya. Dan Zulin ada ciri-ciri lengkap semua itu,” katanya.
Pasangan sama cantik sama padan ini diraikan dalam sebuah majlis resepsi di premis acara, Magica Grand Hall, Shah Alam dan pereka Ezuwan Ismail, mereka persalinan nikah dan majlis malam pengantin, malam tadi.
Dengan sekali lafaz, pasangan ini selamat bergelar sebagai suami isteri yang sah kira-kira jam 9.20 pagi tadi di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Pasangan mempelai itu diijabkabul berwalikan abang pengantin perempuan, Shah Rezza Abdul Aziz dan mereka dinikahkan Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd. Hosni.
Pada majlis akad nikah, Zulin menerima wang hantaran berjumlah RM30,000 sementara pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin RM80 bersama lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.
Terdahulu, Zulin,33, dan Farhan mengikat tali pertunangan pada 28 Januari lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini .