“Kami Rancang Umrah Pada…,” – Tak Tolak Rezeki Zuriat, Harris Annuar & Asha Beri Sebab Tak Melebih Kongsi Hal Cinta

Share

Pasangan pelakon, Harris Annuar dan isterinya, Asha Merican yang selamat bergelar suami isteri pada Sabtu akui memilih untuk tidak terlalu berkongsi mengenai hubungan yang terjalin sebelum ini.

Menurut Harris, adalah lebih baik untuk bersederhana selagi ikatan sah belum terpatri.

“Tidak dinafikan sepanjang empat tahun ada ‘turun dan naik’ dalam bercinta. Syukur alhamdulillah semuanya dipermudahkan.

“Jujurnya sebelum ini kalau keluar ‘dating’ saya akan pakai topi selain tidak terlalu mendedahkan mengenai perhubungan ini.

“Kalau kongsikan pun, hanya kepada rakan rapat sahaja. Sebab kita pun tak tahu perhubungan akan menjadi atau sebaliknya. Kita hanya merancang, tapi Dia yang menentukan. Rasanya lebih baik untuk diam terlebih dulu.

“Tak mahu nanti andai ia tidak menjadi, jadi isu lain pula. Syukur dalam tempoh itu hubungan ini akhirnya ke gerbang perkahwinan,” katanya sejurus majlis respesi yang berlangsung di Magica Hall StarAvenue Subang, malam tadi.

Terdahulu Harris atau nama sebenarnya Mohammad Harris Shahrul Annuar dan Asha selamat diijab kabul kira-kira pukul 4 petang Sabtu dengan mas kahwin sebanyak RM1,000.

“Bagi saya, Harris lelaki yang baik. Sukar untuk bertemu dengan lelaki seperti Harris. Jujurnya dalam tiga atau empat kali juga dia nyatakan hasrat untuk berkahwin.

“Kali terakhir ketika dia bertemu ahli keluarga saya di kampung. Saya tengok pada caranya dan dia sudah ketika itu dia betul-betul bersedia. Seterusnya saya terbuka hati,” kata Asha.

Sementara itu, baik Harris dan Asha, masing-masing akui selesa dengan gelaran anak emak meski memasuki fasa baharu hidup berumah tangga.

“Saya tahu Harris memang anak mak, begitu juga dengan saya. Kami sama-sama anak mak dan manja. Ibu Harris memang sayangkan anaknya pada masa sama juga dia sayangkan saya,” kata Asha.

Harris pula akui kehadiran Asha melengkapi hidupnya memandangkan wanita itu digambarkan sebagai seorang periang.

Ditanya soal bulan madu, Harris yang juga peserta Hero Remaja 2017/18 menambah, mereka akan menyelesaikan tugasan masing-masing terlebih dulu sebelum meluangkan masa indah bersama.

“Saya akan terlibat dengan sebagai pengacara sebuah rancangan di Astro Oasis manakala Asha bakal menjalani penggambaran drama lainnya.

“Selesai tugas kami akan rancang untuk mengerjakan umrah pada bulan Ogos sebelum sambung bercuti ke Switzerland, InsyaAllah,” kata Harris.

Pasangan sama cantik sama padan ini juga tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki zuriat.

“Kami serahkan kepada rezeki Allah. Kalau boleh saya mahukan anak yang ramai dan sudah bersedia,” katanya lagi.

Sekadar info, Harris ialah anak kepada usahawan terkenal, Zaiton Hassan atau Kak Ton, sementara Asha pula Asha pernah membintangi barisan tele-filem, antaranya Rindu Yang Terlarang di Astro Ria.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH