Pelakon Nora Danish tidak menafikan rumah tangganya bersama usahawan, Nedim Nazri sedang berdepan ujian dan sehingga tidak lagi tinggal sembumbung.
Bagaimanapun menurut Nora, mereka berdua optimis berusaha menangani kemelut yang berlaku di dalam rumah tangga yang dibina tujuh tahun lalu itu.
“Kami semestinya mengharapkan jalan terbaik, perceraian adalah jalan terakhir. Apa juga keputusan, saya mengharap yang baik-baik untuk kami dan anak-anak.
“Kita manusia biasa, tidak lari daripada kesilapan. Tujuh tahun berkahwin, memang ada pergolakan tetapi kami cuba tangani sebaik mungkin.
“Buat masa ini, lebih baik tinggal berasingqn di rumah keluarga masing-masing. Perkahwinan kadang memerlukan ruang, itu lumrah.
“Apa yang berlaku, tiada kena mengena dengan orang ketiga, lebih kepada persefahaman masing-masing. Rumah tangga mana tiada masalahkan,” katanya kepada MH.
Terdahulu, khabar angin mengenai pergolakan rumah tangga Nora dan Nedim bertiup kencang selepas mereka tidak berkongsi gambar raya bersama, baru-baru ini.
Nora menambah, hubungannya dengan suami ketika ini baik terutama melibatkan urusan anak-anak meski sudah tidak tinggal sebumbung sejak tiga bulan lalu.
“Kami tetap berhubung terutama pasal anak-anak. Saya tidak mahu apa yang berlaku memberi unsur negatif kepada anak-anak.
“Anak-anak okay tetapi yang kecil itu mungkin tidak faham. Mereka lebih tertekan dengan keadaan rumah kami yang belum selesai direnovasi.
“Macam saya cakap, kami berdua sedang berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki hubungan ini. Sebab itu masing-masing perlukan ruang,” kongsinya.
Bakal muncul menerusi filem seram berjudul Terkutuk, Nora pada masa menyerahkan soal rumah tangga kepada Yang Maha Esa.
“Itulah aturanNya, kebetulan seiring dengan keadaan rumah yang sesamg direnovasi, masing-masing cari ruang untuk selesaikan masalah ini.
“Kami berdua serahkan dan doakan yang terbaik. Macam saya cakap, perceraian adalah jalan terakhir. Kami berdua pernah melalui fasa itu jadi apa pun, kita mahu yang terbaik,” katanya lagi.
Imbas kembali, Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Mohamed Neqayl, enam tahun.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang anak, Putra Rayqal, 15 tahun sebelum bercerai pada 2008.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini