“Kami Semua Sudah Berkeluarga Dan…,” – Didakwa Tak Rapat Macam Dulu Dengan Fazura? Rizman & Ruzaini Jelaskan Spekulasi

Share

Pereka fesyen terkenal, Rizman Nordin dan Wan Ruzaini menerusi jenama Rizman Ruzaini mendedahkan hubungannya bersama aktres, Nur Fazura tiada sebarang masalah, namun hanya sedikit renggang disebabkan kekangan komitmen kerjaya masing-masing

Malah, situasi mereka juga kini sudah pun berbeza memandangkan masing-masing telah pun mendirikan rumah tangga dan berkeluarga.

“Sewaktu perjalanan ketika kami bujang dulu lain, jadi apabila kami berdua dah masuk ke fasa perkahwinan tambahan pula bila dah ada anak semuanya berubah.

“Tidak dinafikan, dulu banyak orang nampak kami selalu meluangkan masa bersama.

“Tetapi sekarang tidak lagi sebab kami semua sudah berkeluarga, dan sibuk dengan kehidupan masing-masing.

“Macam kami berdua sekarang sejujurnya lebih banyak meluangkan masa dengan keluarga dan perniagaan sahaja,” kata Rizman.

Ruzaini menambah, hubungan persahabatan bersama Fazura masih baik dan sama sekali tiada perselisihan yang berlaku antara mereka.

Katanya lagi, mereka beranggapan timbulnya perkara sedemikian mungkin oleh kerana ada segelintir pihak yang membuat andaian dan spekulasi tidak berasas.

“Sejujurnya, hubungan kami berdua tiada masalah dan masih baik sehingga ke hari ini.

“Malah, tidak pernah ada pergaduhan antara kami berdua.

“Pada kami, mungkin timbulnya perkara ini oleh kerana spekulasi atau andaian segelintir pihak di luar sana,” katanya lagi ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun koleksi hijab RR Mono Scarves di RR Pop Up Store, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Terdahulu, ada netizen mendakwa hubungan Fazura bersama Rizman serta Ruzaini kian renggang disebabkan aktres berkenaan tidak kelihatan di beberapa majlis yang melibatkan pereka fesyen itu atau majlis lain yang dianjurkan Rizman dan Ruzaini kebelakangan ini.

Sementara itu, bersempena meraikan ulang tahun pertama koleksi hijab mereka, Rizman Ruzaini telah melantik tujuh selebriti iaitu Ziana Zain, Aina Abdul, Izara Aishah, Amyra Rosli, Kilafairy, Hawa Rizwana dan suri hati Rizman sendiri, Nurida Suraya sebagai ‘muse’ koleksi tudung berkenaan.

Menurut Rizman, mereka yakin dengan kemampuan selebriti yang dilantik ini menjadi platform pemasaran yang baik buat jenama tersebut.

“Sejak dahulu lagi di Rizman Ruzaini kami memang selesa untuk bekerjasama dengan selebriti tanah air. Bukan soal hubungan baik sahaja, namun bagaimana golongan ini juga mampu memberi impak yang baik terhadap jenama Rizman Ruzaini.

“Jadi pemilihan seramai tujuh selebriti ini dalam mewakili koleksi tudung RR Mono Scarves ini adalah satu pilihan yang tepat dalam memastikan jenama Rizman Ruzaini kekal relevan dalam industri fesyen negara.

“Soal mengapa tujuh selebriti ini dipilih untuk mewakili koleksi tudung ini, kami melihat setiap daripada mereka mempunyai golongan peminat yang berbeza.

“Sesuai dengan impian kami untuk memastikan jenama kami diterima setiap golongan, jadi melalui pengenalan para selebriti ini mampu merealisasikan harapan kami untuk memastikan jenama kami menjadi antara jenama fesyen yang dekat dengan rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto: Instagram Rizman Ruzaini

Published by
Nazar Rafiqhi