Syarikat rakaman, Warner Music akhirnya mengesahkan mengenai dakwaan penamatan kontrak penyanyi Kaka Azraff berikutan kelantangannya bersuara mengenai isu Palestin.
Warner Music dalam satu kenyataan berkata, mereka terpaksa mengambil tindakan tersebut kerana perbuatan dan bahasa yang telah digunakan Kaka dikatakan agak keterlaluan.
“Kaka Azraff merupakan seorang artis yang sangat berbakat tetapi malangnya, kami terpaksa berpisah dengannya disebabkan penggunaan bahasa tertentu dalam mesej langsung yang dipaparkan dalam talian,” katanya.
Katanya lagi, sesiapa sahaja artis dibawah naungan Warner Music turut akan dikenakan tindakan sedemikian sekiranya mereka melakukan tindakan yang sama.
“Walaupun kami dengan teguh memperjuangkan hak kebebasan bersuara oleh artis di bawah naungan kami, namun sesiapa yang bertindak dengan cara sedemikian, tanpa mengira kumpulan, bangsa, atau agama, kami akan turut membuat keputusan yang sama”, jelas wakil dari Warner Music itu lagi.
Bagaimanapun, pihak Warner Music tidak menjelaskan secara terperinci bila kontrak tersebut ditamatkan.
Sehubungan itu, satu sidang media tergempar bakal diadakan oleh Kaka pada malam Rabu.
Terdahulu, Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 34, mengirim mesej langsung (DM) mengecam pempengaruh dan pelakon Australia yang pro-Israel, Nathaniel Buzolic.
Profilnya kemudian dikongsi sebuah laman sosial di bawah nama Jew Hate Database yang turut menyenaraikan nama Kaka sebagai antisemitik.