Bersempena dengan sambutan Hari Bapa yang disambut semalam, bintang terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari ada memberikan ucapan teristimewa buat arwah suaminya, Allaharyam Ashraf Sinclair.
Menerusi Insta Stories pada Ahad, penyanyi lagu Cinta Sejati itu ada berkongsi status ringkas, namun mendalam.
Tulisnya yang mesra disapa BCL, arwah suami akan terus kekal menjadi hero buat anak tunggal mereka, Noah Adam Sinclair.
“Selamat Hari Bapa, kamu. Kamu akan selamanya jadi hero buat Noah,” titip Bunga.
Sementara itu, meninjau ke akaun Instagram Ashraf, Allahyarham yang sinonim sebagai bapa penyayang sering kali berkongsi foto bersama puteranya itu sebelum pergi buat selamanya.
Malah, dalam salah satu posting, Ashraf pernah mendapat trofi ‘Best Dad Ever’ difahamkan pemberian anaknya pada Ogos tahun lalu.
Foto tersebut kembali diperkatakan dan ia kelihatan seperti diambil di kawasan sekolah Noah.
Terdahulu pada Februari lalu, industri hiburan Malaysia dan Indonesia dikejutkan dengan pemergian bintang asal Malaysia itu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pada pagi 18 Februari 2020 akibat mengalami serangan jantung.
Al-Fatihah buat Allahyarham Ashraf Sinclair, semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT.
Foto: Instagram BCL, Ashraf Sinclair